Apa Langkah Awal Yang Perlu Dibuat Jika Ada Anggota Badan Yang Terputus? Ini Perkongsian Dr Malar [Video]

Health & Fitness
13 Nov 2026 • 6:11 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Apa Langkah Awal Yang Perlu Dibuat Jika Ada Anggota Badan Yang Terputus? Ini Perkongsian Dr Malar [Video]

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kejadian menimpa anggota polis yang putus pergelangan tangan kanan selepas diserang oleh warga asing bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah pangsapuri Desa Amanpuri, Kepong pada Rabu (11 November) lalu nyata mendapat perhatian ramai.

Namun ramai bersyukur sebaik mengetahui pergelangan tangannya itu berjaya disambung selepas menjalani pembedahan penyambungan semula anggota badan berkenaan dalam tempoh lapan hingga 10 jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pun begitu ada yang tertanya-tanya bagaimana anggota badan tersebut ‘diselamatkan’ dan apakah langkah awal yang boleh dilakukan jika berhadapan situasi sedemikian.

Baca Artikel Berkaitan: Anggota Polis Putus Pergelangan Tangan Ditetak Warga Asing Jalani Pembedahan Penyambungan

Jangan Masukkan Anggota Badan Yang Terputus Terus Ke Dalam Ais

Peka dengan persoalan orang ramai, doktor perubatan terkenal Dr Malar Santhi Santherasegapan yang juga dikenali sebagai Dr Malar tampil berkongsi langkah awal yang boleh dilakukan seseorang sekiranya berdepan dengan situasi mirip dengan anggota polis tersebut.

Jelas Dr Malar yang juga seorang pempengaruh dalam satu video di Facebook, langkah awal yang paling penting dilakukan seseorang adalah tidak memasukkan anggota badan yang terputus secara terus ke dalam bekas yang mengandungi ais batu.

Ini kerana jelasnya bahagian yang terputus itu tidak boleh bersentuhan dengan ais batu secara langsung.

“Jangan masukkan bahagian (anggota badan) yang terputus itu direct (terus) dalam bekas yang ada ais batu.

“Cara betul adalah masukkan anggota badan yang terputus itu dalam plastik kering, plastik kering itu yang masukkan ke dalam bekas yang ada ais batu.

“Jadi, bahagian yang terputus dengan urat, saraf, saluran darah yang terdedah semua itu tak boleh directly (secara terus) bersentuhan dengan ais batu,” katanya.

Insiden Anggota Badan Yang Terputus Perlu Ada 2 Penyelamat, Penyelamat Pertama Bertanggungjawab Jaga Mangsa

Jelas Dr Malar lagi, sekiranya orang ramai berhadapan dengan situasi sedemikian, perlu ada dua individu yang menjadi penyelamat.

“Kalau ada kecederaan yang melibatkan anggota badan terputus, kena ada dua rescuer (penyelamat) yang berasingan.

“Rescuer pertama kena bantu mangsa. Hentikan darah, tenangkan mangsa, yang penting, jangan bagi mangsa apa-apa untuk dimakan atau diminum,” katanya.

Ini kerana jelasnya, terdapat kemungkinan mangsa perlu menjalani pembedahan yang memerlukan dia untuk berpuasa sekurang-kurangnya enam jam.

“Kalau dia sekadar nak minum air seteguk dua boleh tetapi pastikan air kosong sahaja, sekadar nak lepas tekak sahaja,” jelasnya.

Penyelamat Kedua Jaga Anggota Badan Yang Terputus

Tambah Dr Malar lagi, penyelamat kedua pula bertanggungjawab untuk ‘menjaga’ anggota badan yang terputus.

Malah, beliau turut berkongsi satu demi satu langkah yang boleh dilakukan oleh penyelamat kedua dalam menyelamatkan anggota badan yang terputus itu.

“Pastikan pegang bahagian (anggota badan) terputus itu dekat hujung pada bahagian yang tidak cedera.

“Cuci bahagian terputus dengan air sterile macam air daripada mineral atau air paip bersih yang mengalir perlahan.

“Kalau ada gauze atau kain bersih, balut dekat bahagian yang tercedera dengan berhati-hati, balut longgar je. Jangan guna tisu atau kertas ye, susah hendak keluarkan nanti, dia melekat.

“Masukkan bahagian yang terputus yang sudah dibalut atau tidak dibalut pun tak apa, dalam plastik yang kering.

“Plastik yang kering itulah yang dimasukkan ke dalam bekas mengandungi ais batu. Ais batu sebanyak yang boleh, sesejuk yang boleh.

“Pegang bekas dengan selamat sehingga pihak ambulans sampai atau sampai korang bawa bahagian dan mangsa bersama-sama ke hospital,” katanya.

Jelas Dr Malar lagi, pihak hospital kebiasaannya akan terus melabelkan anggota badan tersebut dengan nama, nombor kad pengenalan dan nombor MRN pesakit.

“Diorang akan periksa bahagian itu dan pastikan ia disimpan dalam keadaan yang betul dan bersih.

“Dan pass pula kepada bahagian Ortophedik ataupun kepakaran yang bersesuaian,” katanya.

Dr Malar Ingatkan 3 Langkah Penting Jika Berdepan Dengan Situasi Anggota Badan Terputus

Menerusi video sama, Dr Malar sekali lagi mengingatkan kepada orang ramai tiga langkah penting yang perlu dibuat sekiranya berdepan dengan situasi sedemikian.

Tiga langkah tersebut adalah:

  1. Kekal tenang
  2. Jangan pegang bahagian yang terputus
  3. Jangan masukkan bahagian terputus secara terus ke dalam ais batu.

Baca Artikel Berkaitan: Minyak Bukan Punca Kolestrol, Ini Penjelasan Dr Malar [Video]

Baca Artikel Berkaitan: “Buat Dengan Kerelaan Hati” – Dr Malar Minta Fahami Risiko Jika Nak Jalani Pembedahan Bariatrik [Video]

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved