
KUALA LUMPUR - Anggota polis yang cedera parah selepas pergelangan tangan kanannya terputus ditetak seorang warga asing sudah menunjukkan tanda poisitif, apabila mula mampu menggerakkan beberapa jari.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, mangsa terdahulu menjalani pembedahan selama tujuh jam bagi menyambung semula pergelangan tangannya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.
Menurutnya, perkembangan itu dimaklumkan sendiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mengesahkan prosedur berkenaan berjalan dengan lancar.
"Pakar bedah di HKL sudah berjaya menyambung semula pergelangan tangan anggota polis terbabit dan perkembangan terkini menunjukkan beliau sudah boleh menggerakkan beberapa jari,” katanya pada sidang media hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Fahmi berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan anggota pasukan keselamatan yang berdepan risiko ketika menjalankan tugas.
Katanya, anggota polis mempunyai ruang untuk mengambil tindakan yang perlu bagi melindungi keselamatan diri, khususnya ketika berhadapan situasi berbahaya dalam sesuatu operasi.
“Perdana Menteri amat prihatin dengan kejadian yang berlaku,” katanya. - Getaran, 13 November 2026





