Apa sahaja keputusan parti, saya terima – Aminuddin

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 11:26 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Apa sahaja keputusan parti, saya terima – Aminuddin

MELAKA: Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan kedudukannya kepada pertimbangan pimpinan parti dan bersedia menerima apa sahaja keputusan terhadap dirinya susulan prestasi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan berkata, beliau tidak akan lari daripada tanggungjawab dan mengakui terdapat kelemahan sepanjang melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya.

“Saya bersedia untuk bertanggungjawab. Saya tidak mahu lari daripada tanggungjawab. Adakah segala keputusan yang saya buat semuanya betul? tidak. Adakah segala strategi yang kita lakukan berjaya? tidak.

“Saya mohon ampun dan maaf kepada seluruh anggota parti atas segala kekurangan dan kelemahan saya. Apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh pimpinan parti terhadap diri saya, saya bersedia menerimanya. Jawatan bukan milik saya, amanah adalah milik parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, desakan enam ketua cabang PKR Negeri Sembilan supaya Aminuddin meletakkan jawatan bagi mengetuai PKR negeri boleh dibincangkan dalam parti.

Anwar berkata, beliau belum menerima surat berkenaan secara rasmi namun sudah dimaklumkan mengenai kewujudannya.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kekalahan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk parti berhenti berjuang, sebaliknya perlu menjadi titik permulaan untuk bangkit semula.

“Jangan jadikan kekalahan sebagai alasan untuk berhenti berjuang. Sebaliknya, ia perlu menjadi titik permulaan kepada kebangkitan semula.

“Kalau organisasi perlu disusun semula, kita susun. Kalau strategi perlu diperbaiki, kita perbaiki. Kalau jentera perlu diperkemas, kita perkemas,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, PKR perlu menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka dan tidak menyalahkan pengundi apabila parti ditolak dalam sesuatu pilihan raya.

Katanya, parti sebaliknya perlu memahami sebab di sebalik keputusan berkenaan dan melakukan penilaian secara jujur bagi memperbaiki kelemahan.

“Kita tidak boleh menyalahkan rakyat. Kita tidak boleh mengatakan rakyat tidak faham dan kita tidak boleh mengatakan rakyat membuat keputusan yang salah.

“Rakyat mempunyai hak untuk membuat keputusan dan kita mempunyai tanggungjawab untuk memahami mengapa mereka membuat keputusan sedemikian.

“Kalau rakyat menolak kita, persoalannya adalah mengapa? Itulah soalan yang harus dijawab dengan jujur, bukan untuk mencari kambing hitam tetapi untuk mencari jalan terbaik,” katanya. – UTUSAN

The post Apa sahaja keputusan parti, saya terima – Aminuddin appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved