Wanita tidak akan sertai PKR jika sekadar jadi tukang kempen

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 2:47 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wanita tidak akan sertai PKR jika sekadar jadi tukang kempen

MELAKA: Golongan wanita tidak akan tertarik menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekiranya hanya diberikan peranan sebagai jentera kempen, sebaliknya perlu diberi ruang lebih besar untuk memimpin dan terlibat dalam proses membuat keputusan parti.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, penglibatan wanita perlu diperkasakan dengan memberikan mereka tanggungjawab serta kedudukan lebih besar dalam parti, selaras dengan keupayaan mereka sebagai penggerak akar umbi.

“Kita tak boleh yakinkan lebih ramai wanita masuk Keadilan sekiranya kita hanya meletakkan wanita sebagai tukang kempen. Walaupun hakikatnya, wanita ini memang kemahirannya adalah berkempen.

“Kalau kita percayakan wanita untuk masuk sampai ke dapur rakyat, kita juga mesti berani memberikan mereka peranan yang lebih besar dalam parti. Berikan ruang untuk mereka memimpin, berikan tanggungjawab, libatkan mereka dalam membuat keputusan,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Fadhlina berkata, langkah memberikan ruang lebih besar kepada wanita juga penting bagi meyakinkan masyarakat, khususnya wanita, bahawa PKR benar-benar komited terhadap kepimpinan wanita.

“Kalau kita mahu meyakinkan masyarakat khususnya wanita untuk memilih Keadilan, mereka juga perlu percaya dan melihat bahawa parti ini betul-betul percaya kepada kepimpinan wanita,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan, turut mengingatkan pimpinan parti supaya mengambil serius keperluan memperluas peranan wanita dalam PKR, termasuk dalam kepimpinan dan pembuatan keputusan.

“Saya harap seluruh pimpinan parti mengambil serius hujah supaya wanita ditempatkan dengan lebih aktif dalam parti,” katanya.

Fadhlina turut mengimbas perjuangan bekas Presiden Burkina Faso, Thomas Sankara, yang sejak era 1980-an telah menekankan kepentingan wanita dalam kepimpinan kerajaan.

“Tetapi itu tahun 1980-an saudara-saudari. Ini tahun 2026! Lebih 40 tahun kemudian, kita masih lagi berdebat tentang peranan wanita dalam politik,” katanya. – UTUSAN

The post Wanita tidak akan sertai PKR jika sekadar jadi tukang kempen appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved