Apabila AJK masjid main TikTok, Threads

9 Mar 2026 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jika pendekatan media sosial ini digunakan dengan baik, tidak mustahil lebih ramai golongan muda akan menjadikan masjid sebagai tempat yang mereka rindui. Foto hiasan

RAMADAN tahun ini Merak Jalanan rasakan antara yang meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Meriah dari segi ramai yang berlumba-lumba berkongsi lokasi masjid yang mereka kunjungi untuk berbuka puasa dan bertarawih.

Jika sebelum ini antara masjid yang menjadi tumpuan adalah Masjid As-Syakirin yang terletak di KLCC, namun pada tahun ini banyak masjid yang menjadi viral di media sosial. Antaranya Masjid TNB Bangsar yang menjadi tarikan kepada golongan Gen Z.

Khabarnya ramai yang datang untuk merasai suasana berbuka di dalam masjid tersebut yang bukan sahaja selesa, wangi, malah penuh dengan kehadiran jemaah dari pelbagai latar belakang.

Pun begitu, menariknya masjid-masjid di tempat lain juga tidak kurang hebatnya. Penuh dengan jemaah yang mengimarahkan masjid.

Antara faktor mungkin disebabkan oleh kreativiti AJK masjid itu sendiri yang turut membuat hantaran di media sosial seperti di Threads, TikTok, Instagram dan Facebook mengajak orang ramai untuk berbuka di masjid.

Apatah lagi, kreativiti AJK yang menghasilkan pendekatan santai melalui video pendek, perkongsian suasana berbuka, menu berbuka puasa dan banyak lagi aktiviti-aktiviti santai sebenarnya cara paling berkesan untuk mendekati golongan muda yang selama ini mungkin teragak-agak untuk ke masjid.

Merak Jalanan melihat perkara ini sebagai perkembangan yang sangat positif. Masjid bukan sahaja menjadi pusat ibadah, tetapi pusat komuniti yang hidup dan dekat dengan masyarakat.

Jika pendekatan media sosial ini digunakan dengan baik, tidak mustahil lebih ramai golongan muda akan menjadikan masjid sebagai tempat yang mereka rindui.