
Penggunaan APC Guardian dan Surveillance Thermal Radar dalam Ops Taring Wawasan memperkukuh keupayaan PGA membendung jenayah di sempadan Malaysia-Thailand.
PASIR MAS: Penggunaan kenderaan perisai APC Guardian dan Surveillance Thermal Radar (STR) dalam Ops Taring Wawasan Kelantan sejak 26 Ogos, bertujuan memperkukuh keupayaan Pasukan Gerakan Am (PGA) melaksanakan rondaan, pemantauan serta pencegahan di sepanjang kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata pengoperasian kedua-dua aset berkeupayaan tinggi itu, merupakan langkah tambahan bagi meningkatkan kesiapsiagaan pasukan susulan perkembangan situasi keselamatan di wilayah Selatan Thailand.
“Atur gerak ini selaras dengan arahan operasi supaya rondaan berkenderaan dipertingkat khususnya di kawasan sempadan yang dikenal pasti terdedah kepada aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.
“APC Guardian dan STR kini digunakan secara berkala mengikut sektor operasi yang ditetapkan, dengan APC Guardian ditugaskan di Sektor Jeram Perdah dan Rantau Panjang, manakala STR diatur gerak di Sektor Pengkalan Kubor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kedua-dua aset berkenaan memberi tumpuan khusus kepada kawasan sepanjang Sungai Golok, kerana ia merupakan antara laluan sempadan yang terdedah kepada pelbagai bentuk aktiviti rentas sempadan.
Ahmad Radzi berkata penggunaan kedua-dua aset ini juga untuk meningkatkan kehadiran pasukan keselamatan, mobiliti, pemantauan dan keupayaan pencegahan di kawasan sempadan, sekali gus menghalang sebarang cubaan jenayah rentas sempadan.
“APC Guardian memberikan keupayaan rondaan yang lebih kukuh dan berdaya tahan di kawasan operasi, manakala STR meningkatkan keupayaan pemantauan terhadap pergerakan dan aktiviti di kawasan sempadan, menerusi teknologi radar serta thermal infrared,” katanya.
Beliau berkata APC Guardian dikendalikan pemandu daripada Skuadron Perisai 9 Briged Tenggara PGA bersama empat kru, manakala STR dikendalikan empat anggota Platun Teknikal daripada Batalion 8 PGA yang mempunyai kepakaran dalam pengendalian aset berkenaan.
“Walaupun setakat ini belum ada tangkapan atau rampasan barangan penyeludupan yang boleh dikaitkan secara langsung dengan pengoperasian kedua-dua aset ini sejak 26 Ogos lepas, keberkesanannya tidak semata-mata diukur berdasarkan jumlah tangkapan atau rampasan.
“Kehadiran aset tersebut merupakan sebahagian daripada strategi pencegahan dengan meningkatkan risiko kepada mana-mana pihak yang berhasrat melakukan aktiviti penyeludupan, pencerobohan atau jenayah rentas sempadan,” katanya.
Beliau berkata APC Guardian dan STR turut memberi isyarat jelas bahawa kawalan keselamatan di sempadan negara, sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi, selain meningkatkan keyakinan masyarakat setempat terhadap usaha kerajaan menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
“Keutamaan kami ialah memastikan keselamatan, kedaulatan dan integriti sempadan negara sentiasa terpelihara.
“Penggunaan APC Guardian dan STR merupakan sebahagian daripada pendekatan bersepadu polis dalam memperkukuh kawalan sempadan melalui peningkatan kehadiran pasukan, keupayaan pemantauan dan elemen cegah rintang,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Jalan Kasban sepanjang Sungai Golok berdekatan Kampung Jeram Perdah di sini bersama dengan Pegawai Pemerintah Medan Batalion 8PGA DSP Mohd Said Mamat hari ini mendapati, kehadiran dua aset tersebut ternyata memberi impak apabila tiada sebarang pergerakan dikesan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
Difahamkan, STR yang digunakan mampu mengesan haba badan manusia dalam jarak kira-kira dua kilometer terutama pada waktu malam.






