Syabu RM12.26 juta gagal diseludup ke Malaysia

18 Aug 2026 • 4:57 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Syabu RM12.26 juta gagal diseludup ke Malaysia

HAT YAI (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand merampas lebih 205 kilogram syabu bernilai RM12.26 juta yang akan diseludup ke Malaysia dan menahan empat anggota sindiket dadah rentas sempadan di Wilayah Songkhla pada Jumaat dan Ahad lalu.

Operasi memintas penghantaran dadah itu dilancarkan hasil risikan Bahagian Pembanterasan Narkotik Polis Wilayah 9, Balai Polis Hat Yai dan Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9, yang mendapati sindiket terbabit menggunakan kurier sebagai alat pengangkutan.

Jurucakap Bahagian Pembanterasan Narkotik Polis Wilayah 9 berkata, kes bermula pada 14 Ogos apabila pihaknya menerima maklumat berkenaan penghantaran beberapa bungkusan disyaki dadah menggunakan perkhidmatan syarikat kurier.

Katanya, pihak berkuasa kemudian menyelaraskan langkah untuk mengesan dan memerhati suspek sebelum menahannya kira-kira pukul 9.30 pagi Jumaat lalu ketika dia sedang mengambil bungkusan di sebuah syarikat kurier di Mukim Ban Phru, Daerah Hat Yai, menggunakan sebuah pikap.

“Setelah pemeriksaan, pihak berkuasa menemukan beberapa bungkusan mengandungi 205 kilogram syabu. Suspek kemudian ditahan untuk siasatan bagi mengenal pasti anggota rangkaian lain.

“Siasatan lanjut membawa kepada penangkapan dua lagi suspek di kediaman mereka di Mukim Khuan Lang, Daerah Hat Yai. Suspek pertama yang ditahan bertanggungjawab menghantar dadah berkenaan kepada kedua-dua suspek itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap itu memberitahu, salah seorang suspek yang ditahan di rumah berkenaan mengaku telah melakukan tiga penghantaran syabu kepada seorang lagi rakan mereka di Wilayah Narathiwat berjumlah lebih 800 kilogram dan menerima bayaran antara RM19,622 hingga RM24,528.

Katanya, siasatan lanjut terhadap dua suspek yang ditahan di rumah berkenaan mendedahkan kegiatan seorang wanita yang sedang dalam perjalanan dari Wilayah Narathiwat untuk mengambil dadah berkenaan.

“Risikan dilakukan sebelum seorang wanita berusia 62 tahun yang memandu sebuah pikap ditahan di Jalan Kanchanawanit, di sini Ahad lalu.

“Ketika disoal siasat, wanita terbabit mendedahkan bahawa dadah tersebut akan dihantar ke Jeti Tak Bai di Wilayah Narathiwat sebelum diseludup ke Malaysia melalui Pengkalan Kubor,” ujarnya. – UTUSAN

The post Syabu RM12.26 juta gagal diseludup ke Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved