amree29/07/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai – HSS Engineers Berhad terus mengukuhkan kedudukan dalam sektor infrastruktur air apabila memperoleh kontrak perundingan bernilai RM34 juta, menurut Apex Securities.
Bagaimanapun kenaikan ketara harga saham menyebabkan firma itu menurunkan penarafan kepada 'pegang' daripada 'beli' kerana percaya potensi pertumbuhan jangka pendek sudah diambil kira pasaran.
Ujarnya, meskipun prospek operasi kekal kukuh, harga saham semasa sebanyak 51 sen dilihat melepasi harga sasaran (TP) yang disemak kepada 47 sen sesaham berbanding unjuran asal 48 sen sebelum ini.
"Kami namun positif pemerolehan kontrak terbaharu bagi HSS Engineers melaksanakan kerja-kerja perundingan serta penjualan bekalan air terawat dari Perak ke Pulau Pinang," kata Apex Securities.
Skop kerja turut merangkumi penyediaan reka bentuk awal dan akhir, sokongan semasa proses tender serta khidmat teknikal sepanjang tempoh pembinaan dengan projek berlangsung selama 66 bulan.
Firma itu berpandangan kemenangan kontrak tersebut mengesahkan kepakaran syarikat dalam bidang kejuruteraan infrastruktur air, selepas meraih tender di Kedah bernilai RM30.5 juta pada Mac lalu.

Apex Securities menganggarkan kontrak baharu menjana keuntungan kasar RM11.2 juta berdasarkan andaian margin HSS Engineers sebanyak 33%, selain menyifatkan risiko pelaksanaan sebagai terkawal.
"Jumlah kontrak baharu diraih sejak awal tahun naik kepada RM163 juta, sekali gus mengembangkan buku tempahan terkumpul kepada RM2.28 bilion, dengan jaminan hasil beberapa tahun akan datang," jelasnya.
Selain itu ujar firma berkenaan, syarikat tersebut masih mempunyai tender bernilai kira-kira RM500 juta, yang dijangka menyokong penambahan kontrak baharunya sepanjang separuh kedua 2026 (2HFY26).
Kata Apex Securities, peluang dalam projek prasarana serta pembangunan pusat data (DC) akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan kontrak HSS Engineers bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027.
Ia namun mengingatkan isu kelewatan pelaksanaan projek, pendedahan kepada risiko geopolitik bagi projek di luar negara serta kegagalan perolehan kontrak baharu kekal menjadi cabaran utama.
"Semua cabaran tersebut perlu diberi perhatian oleh pelabur, meskipun asas perniagaan syarikat berkenaan terus berada pada tahap yang semakin kukuh," katanya. - DagangNews.com





