Aplikasi BigPay Dikemaskini Dengan Antaramuka Baharu

TechnologyDigital
27 Jul 2023 • 11:37 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Aplikasi BigPay telah dikemaskini dengan antaramuka baharu lebih bersih bagi menyediakan pengalaman mengakses yang lebih baik. Rombakan atau penyusunan semula ini dibuat untuk pertama kalinya sejak aplikasi ini dilancarkan pada tahun 2018 yang lalu.

image is not available

Melihat dengan lebih terperinci bermula dengan skrin utama, ia telah disusun semula bagi memudahkan pengguna melihat baki kad BigPay berserta nilai simpanan di dalam Stashes dengan serta merta. Bagi yang mungkin tidak pasti apa itu Stashes, ia merupakan ciri yang berfungsi seakan ‘tabung’ yang boleh menjadi ruang peribadi untuk penjimatan wang dan perbelanjaan.

image is not available

Turut boleh dilihat profil dan pengimbas QR DuitNow masing-masing boleh diakses dengan mudah di bahagian sudut kanan dan kiri atas. Akses pantas ke beberapa ciri utama penting seperti DuitNow dan pemindahan wang antarabangsa (International Transfer) juga dilihat kini lebih mudah berbanding sebelum ini. Ikon juga ceria dengan gabungan warna turquoise dan merah jambu yang menghiasinya.

image is not available

Paparan transaksi juga lebih kemas dan minimalis yang memudahkan semakan perbelanjaan, selain pengguna turut boleh ikuti pelbagai promosi menarik secara berterusan. Dalam pada itu, bar navigasi di bahagian bawah juga lebih ringkas dengan hanya memuatkan tiga berbanding lima butang sebelum ini, iaitu Home, Explore dan Rewards.

image is not available

BigPay turut mengemaskini ruangan Explore, Rewards dan Account dengan tampilan kandungan dan label lebih jelas. Ini termasuklah nilai baki terkumpul untuk semua rebat tunai dan mata ganjaran. Penyusunan semula turut dibuat untuk halaman sejarah analisis dan transaksi dengan pelbagai ringkasan mengenai jumlah dan corak perbelanjaan tertentu.

Melihat secara umum, perubahan baharu ini dilihat lebih kemas dan ringkas berbanding versi sebelum ini. Semakan kami juga mendapati kemaskini tersedia secara automatik pada aplikasi. Namun sekiranya tidak selesa anda boleh sahaja kembali ke antaramuka lama dengan klik pada “Switch back to old design”.