Pihak FourSquare kini mengumumkan akan menamatkan aplikasi FourSquare City Guide berkuat-kuasa 15 Disember 2024, dan akan memfokuskan kepada aplikasi Swarm selepas itu.

FourSquare merupakan salah satu aplikasi yang sangat popular ketika era permulaan telefon pintar, dimana pengguna boleh daftar masuk ke sesuatu lokasi, dan mengumpulkan lencana sebagai “Abang Kawasan”. Namun, pada 2014, mereka memilih untuk mengasingkan aplikasi, dimana ciri daftar masuk lokasi dipindahkan ke aplikasi dinamakan Swarm, sementara FourSquare berfungsi sebagai direktori setempat untuk menemui lokasi dan tempat menarik.
Dengan perubahan ini, pihak FourSqare dijangka akan lebih memfokuskan kepada aplikasi Swarm, dan menambah sejumlah ciri baharu melalui aplikasi tersebut. Sebelum ini juga, pihak FourSquare dikatakan membuang lebih 100 orang pekerja – yang mungkin juga selari dengan perubahan strategi ini.



