Aplikasi MCMC Nexus Kini Ditawarkan Secara Rasmi – Memudahkan Ujian Kualiti Rangkaian Mudah-Alih Dan WiFi

LocalTechnology
31 Mar 2026 • 5:06 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada awal tahun lepas, pihak Suruhanjaya telah membangunkan dan mula menguji aplikasi MCMC Nexus, iaitu sebuah aplikasi menguji rangkaian internet mudah-alih dan WiFi secara tempatan, untuk memastikan bahawa kelajuan penghantaran dan penerimaan data rangkaian-rangkaian Malaysia menepati piawaian Mandatory Standards for Quality of Service (MSQoS) yang ditetapkan Kementerian Komunikasi Malaysia.

image is not available

Hari ini, aplikasi tersebut telah dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan boleh digunakan bersama-sama peranti pintar Android, iOS dan HarmonyOS oleh orang ramai. Selain daripada menguji kelajuan muat-turun dan muat-naik rangkaian mudah-alih dan WiFi, aplikasi ini juga boleh menguji kualiti aplikasi penstriman dan media sosial popular seperti YouTube, Netflix, TikTok, Instagram, Facebook, WhatsApp dan lain-lain.

Satu lagi fungsi yang diperlihatkan ialah Route Survey yang membolehkan pengguna untuk menggunakan aplikasi ini untuk menguji kelajuan rangkaian di jalan dan lebuhraya yang anda lalui. Semua data rangkaian yang dikumpul akan dihantar kepada pihak SKMM, dan sekiranya kelajuan rangkaian adalah lebih rendah daripada piawaian MSQoS yang ditetapkan (10Mbps), pihak SKMM akan mengetahui tentangnya, dan laporan juga akan dilanjutkan kepada penyedia rangkaian untuk tindakan selanjutnya.