Aplikasi mencari destinasi menarik tersembunyi

TechnologyTravel
11 Aug 2026 • 10:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Aplikasi mencari destinasi menarik tersembunyi

KEMAJUAN teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin mengubah landskap industri pelancongan global dengan menawarkan pengalaman yang lebih diperibadikan dan interaktif.

Jika sebelum ini pelancong bergantung kepada enjin carian atau aplikasi peta untuk mencari lokasi popular, kini pendekatan tersebut berkembang kepada sistem pintar yang mampu mencadangkan destinasi baharu berdasarkan minat pengguna serta perkongsian komuniti.

Selari dengan perubahan itu, syarikat pemula teknologi tempatan, Draitek International memperkenalkan Troqai: Smart Place Discovery, sebuah platform pelancongan berasaskan AI yang bukan sahaja membantu pengguna menemui lokasi menarik, malah membuka peluang kepada komuniti untuk berkongsi khazanah tersembunyi yang jarang diketahui ramai.

Menurut Pengasas Draitek International, Ts. Shafirul Azmi Suhaimi, idea menghasilkan Troqai bermula daripada minat peribadi meneroka tempat-tempat menarik sebelum berkembang menjadi sebuah platform yang membolehkan komuniti berkongsi maklumat, foto dan cadangan bagi membantu orang lain menemui destinasi yang mungkin tidak pernah mereka ketahui.

“Saya percaya gabungan teknologi AI dan sumbangan komuniti mampu mencipta pengalaman pelancongan yang lebih kaya, relevan dan sentiasa berkembang mengikut trend semasa.

“Nama Troqai diambil daripada gabungan perkataan Terokai dan AI, melambangkan matlamat platform tersebut untuk menggabungkan sifat ingin tahu manusia dengan kecerdasan buatan dalam usaha memperkenalkan destinasi baharu,” katanya kepada K-Tekno secara dalam talian baru-baru ini.

Image from: Aplikasi mencari destinasi menarik tersembunyi
Orang ramai boleh berkongsi dan mencari tempat-tempat menarik termasuk yang kurang diketahui ramai menerusi aplikasi Troqai.

Tambahnya, berbeza dengan kebanyakan aplikasi pelancongan yang lebih memfokuskan lokasi terkenal, Troqai menggunakan pendekatan lebih dinamik dengan mencadangkan tempat yang mungkin tidak pernah dipertimbangkan pengguna sebelum ini.

Pendekatan tersebut memberi nafas baharu kepada konsep penerokaan, sekali gus menggalakkan pelancong menikmati pengalaman yang lebih autentik dan dekat dengan komuniti setempat.

Kongsi Shariful Azmi lagi, keistimewaan utama Troqai terletak pada penggunaan AI yang menganalisis maklumat daripada foto, tip serta cadangan yang dikongsi pengguna bagi menghasilkan saranan lokasi yang sentiasa dikemas kini.

Image from: Aplikasi mencari destinasi menarik tersembunyi

Ini bermakna, semakin ramai pengguna menyumbang kandungan, semakin kaya pangkalan data platform tersebut.

Hasilnya, pengguna berpeluang menemui lokasi unik seperti kafe tersembunyi, kawasan rekreasi tempatan, lokasi bergambar menarik atau destinasi yang belum mendapat liputan meluas, sekali gus menjadikan setiap perjalanan lebih bermakna.

“Antara ciri paling menarik ialah Surprise Place yang membolehkan pengguna menyerahkan sepenuhnya proses pemilihan destinasi kepada AI.

“Melalui fungsi ini, sistem akan mencadangkan lokasi yang sesuai secara rawak berdasarkan kawasan atau minat pengguna,” ujarnya.

Katanya lagi, konsep tersebut menawarkan elemen kejutan dalam setiap pengembaraan dan sesuai untuk mereka yang gemar meneroka tanpa perancangan yang terlalu terperinci.

Bagi pengguna yang mahukan pengalaman lebih menyeluruh, Troqai Premium menyediakan itinerari perjalanan yang dijana AI, membolehkan pengguna merancang keseluruhan perjalanan secara lebih sistematik dan menjimatkan masa.

Selain memberi manfaat kepada pelancong, Troqai turut menyasarkan pembangunan ekosistem pelancongan yang lebih menyeluruh.

Platform tersebut direka bagi menghubungkan lembaga pelancongan, organisasi pemasaran destinasi, hotel, restoran, kafe, tarikan pelancongan serta pengendali pelancongan melalui sistem promosi berasaskan lokasi.

Draitek International juga sedang meneroka peluang kerjasama dengan pelbagai agensi pelancongan di Malaysia dan luar negara bagi memperluas penggunaan platform tersebut sebagai infrastruktur digital pelancongan pada masa hadapan.

“Satu lagi kelebihan Troqai ialah sokongan pelbagai bahasa yang membolehkan pengguna dari seluruh dunia mengakses platform tanpa kekangan bahasa.

“Ciri tersebut berpotensi memperluas perkongsian maklumat antara pelancong antarabangsa, sekali gus meningkatkan keterlihatan destinasi-destinasi unik di Malaysia kepada pasaran global,” jelasnya.

Ujarnya lagi, dengan gabungan AI, kandungan komuniti dan strategi promosi digital yang inklusif, Troqai berpotensi menjadi platform pelancongan pintar yang memperkasa pengalaman penerokaan serta merancakkan ekonomi pelancongan digital negara.

The post Aplikasi mencari destinasi menarik tersembunyi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved