Apabila bercakap mengenai pendigitalan perkhidmatan kerajaan, ia boleh dikatakan bahawa rakyat Malaysia merasakan bahawa mereka perlu memuat-turun 101 aplikasi untuk mengakses perkhidmatan kerajaan jika tidak mahu ke pusat perkhidmatan kerajaan seperti UTC untuk melakukannya secara fizikal.

Oleh kerana itu, pihak kerajaan, melalui Kementerian Digital Malaysia telah mula membangunkan aplikasi sehenti perkhidmatan kerajaan MyGOV sejak pertengahan tahun lepas, dan kini memperkenalkannya dalam fasa ujian beta terbuka.

Aplikasi ini dibangunkan oleh pihak Kementerian Digital dengan pasukan pembangun mereka yang tersendiri, dan dilihat akan memperlihatkan integrasi daripada aplikasi-aplikasi dan perkhidmatan digital yang lain kelak.
Buat masa ini, apabila anda memuat-turun dan melog masuk ke dalam aplikasi ini menggunakan sistem log masuk MyDigital ID, beberapa contoh ciri yang akan diperkenalkan boleh diperlihatkan di halaman utama, seperti identiti digital, termasuklah butiran untuk kad pengenalan, lesen memandu, lesen kenderaan motor, pasport dan kad OKU, jika ada.



Selain daripada itu, pilihan untuk melihat butiran saman dan kompaun juga telah ditambah, fungsi pembayaran cukai terus melalui aplikasi (akan datang) dan temujanji Klinik Kesihatan kerajaan juga boleh diperlihatkan.
Jika anda merupakan seorang penerima bantuan kewangan daripada kerajaan, jumlah yang diterima anda juga akan dipaparkan pada aplikasi ini untuk memudahkan anda melihat baki bantuan tersebut.

Ciri-ciri yang dinyatakan diatas secara teknikalnya sudahpun dapat diperlihatkan pada aplikasi-aplikasi kerajaan sedia-ada seperti MyJPJ, MyTax, MySejahtera. Dan inilah yang cuba diketengahkan oleh Kementerian Digital, dimana perkhidmatan-perkhidmatan ini boleh diselaraskan dalam satu aplikasi sehenti menggunakan satu titik log masuk sahaja.
Fabian Bigar, Ketua Setiausaha Kementerian Digital mengatakan bahawa pengenalan dan pelancaran aplikasi MyGOV pada masa ini dalam fasa beta ialah untuk bukan sahaja menguji kemampuan aplikasi tersebut untuk merumahkan sejumlah fungsi digital kerajaan dan juga untuk mendapatkan input daripada rakyat Malaysia berkenaan pengalaman penggunaannya.

Beliau mengatakan bahawa sepanjang fasa ujian beta ini, aplikasi MyGOV akan dikemaskini dengan pelbagai ciri-ciri lain seperti permohonan untuk mendapatkan kad pengenalan dan pasport baru, pembayaran saman JPJ dan polis trafik, kebolehan untuk membayar cukai pendapatan dan taksiran dan lain-lain, termasuklah implimentasi bot berbual AI.
Walaupun begitu, pengenalan aplikasi ini tidak akan menjejaskan keperluan untuk aplikasi-aplikasi kerajaan sedia ada. Sebagai contoh, walaupun aplikasi MyGOV ini boleh memperlihatkan butiran pada lesen memandu dan lesen pemilikan kereta, aplikasi MyJPJ masih diperlukan sebagai pengganti lesen fizikal pengguna buat masa ini.
Tiada tarikh muktamad telah diumumkan buat masa ini berkenaan bilakah aplikasi ini akan keluar dari fasa beta, tetapi daripada apa yang kami diberitahu oleh pasukan pembangun aplikasi, fokus mereka ialah untuk memastikan bahawa MyGOV boleh digunakan oleh orang ramai sebelum perbincangan untuk pelancaran umum “rasmi” aplikasi ini dilakukan.

Aplikasi MyGOV kini boleh dimuat-turun melalui gedung aplikasi Apple App Store dan juga Google Play Store, dan log masuk memerlukan penggunaan perkhidmatan log masuk MyDigital ID.
Menurut Fabian Bigar lagi, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan memperkenalkan aplikasi ini kepada khalayak ramai sewaktu acara Program MADANI Rakyat Negeri Sembilan yang akan berlangsung di bandar Nilai pada hari Sabtu ini, 23 Ogos 2025.
