
Aplikasi X untuk Android telah dikemaskini selepas setahun diuji oleh pengguna Premium. Versi baharu ini dibina sepenuhnya daripada asas bagi membolehkan pelbagai ciri yang selama ini hanya boleh diakses pada aplikasi iOS dinikmati pengguna Android.

Antara yang diperkenalkan ialah suntingan gambar yang membolehkan lakaran, teks lebih cantik dan elemen tertentu pada gambar dikaburkan terus daripada dalam peranti. Gambar kini boleh ditatal secara mendatar apabila lebih daripada satu dimuat naik dalam ciapan mirip Threads. Selain itu ciri Cashtags dan Custom Timelines juga kini boleh digunakan di Android.
Menurut ketua produk di X, Nikita Bier beberapa ciri lain seperti React with Video, Video Editor, dan Spaces kini sedang dibangunkan untuk digunakan dalam aplikasi Android.
Walaupun aplikasi dikatakan lebih baik, kami menyedari ia tidak dipaparkan dalam betul dalam peranti skrin lipat, talam bawah yang hilang secara automatik amat menyusahkan dan talam pemilihan gambar untuk dimuat tidak sebaik versi sebelumnya.


