APM hargai peranan media sampaikan maklumat tepat, sahih

3 Apr 2026 • 6:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohammad Abiddin (lima dari kiri) bergambar bersama pegawai dan petugas media di Program Santuni Media Madani APM 2026 di Shah Alam pada Jumaat.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menghargai peranan media sebagai rakan strategik dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat ketika bencana.

Ketua Pesuruhjaya APM, Mohammad Abiddin Abd Rahman berkata, liputan yang pantas, beretika dan bertanggungjawab amat membantu dalam usaha APM memastikan masyarakat sentiasa peka serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Saya menyeru agar semua pihak media terus berganding bahu bersama APM dalam memperkukuhkan kesejahteraan negara serta memastikan penyampaian maklumat yang tepat.

"Melalui kerjasama erat ini, kita dapat bersama-sama membanteras penyebaran berita palsu dan membina naratif yang positif serta menzahirkan kepada umum pengorbanan dan dedikasi warga APM dalam melaksanakan amanah demi rakyat dan negara," katanya di sini pada Jumaat.

 Beliau berkata demikian pada Program Santuni Media Madani APM 2026 yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Ghazali Abd Rahman dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan) APM, Datuk Ismail Mohd Zawawi.

Tambah Mohammad Abiddin, beliau dan seluruh warga angkatan itu terus komited memelihara keselamatan rakyat supaya generasi akan datang dapat menikmati nikmat keamanan dikecapi ketika ini.

Jelasnya, usaha ini turut memberi penekanan kepada pembangunan dan memastikan keselamatan generasi masa hadapan sebagai pelapis kepimpinan negara yang bakal menjadi pemimpin, pakar ekonomi, jurutera, saintis dan tenaga profesional.

“Besar harapan saya, kepada semua rakan-rakan media agar memperhebatkan promosi peranan dan tugas APM ini kepada suatu jenama yang diyakini, dan dihormati.

“Jadikan APM sebagai rujukan masyarakat dalam aspek kesiapsiagaan awam dan pengurusan bencana, bukan hanya naratif 'ingat ular, ingat APM',” katanya dalam nada seloroh.

Sementara itu, Ismail berkata, APM memerlukan tambahan aset kenderaan penyelamat ringan (LRV) dan ambulans bagi memastikan kelancaran operasi harian di seluruh negara.

Kata beliau, penambahan aset itu kritikal bagi membolehkan anggota bertindak dengan lebih pantas, terutama apabila melibatkan kawasan liputan yang luas di setiap daerah.

Ismail menjelaskan bahawa buat masa ini, APM hanya memiliki 251 unit LRV berbanding keperluan sebenar sebanyak 372 unit, manakala bagi ambulans, agensi itu mempunyai 292 unit berbanding sasaran 340 unit.

"Setiap daerah biasanya hanya mempunyai sebuah kenderaan 4x4 dan sebuah ambulans. Apabila berlaku panggilan kecemasan serentak di lokasi yang jauh, kita adakalanya terpaksa menolak kes kerana aset sedia ada sedang digunakan di tempat lain.

"Justeru, kita sedang meneroka kaedah perolehan baharu seperti sewaan atau konsesi bagi memastikan APM sentiasa mempunyai aset yang berfungsi baik dan mencapai standard teknologi terkini," ujarnya.