Mara bantu anak penjual goreng pisang raih 11A+ SPM ke Jordan

LocalFamily & Parenting
2 Apr 2026 • 6:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fakhrul bersama kedua ibu bapanya bergambar bersama Asyraf Wajdi ketika mengunjungi Pengerusi Mara berkenaan.

SHAH ALAM – Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersedia membantu seorang anak penjual pisang goreng yang memperoleh keputusan cemerlang 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 untuk melanjutkan pengajian ke Jordan.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau mencadangkan pelajar itu, Fakhrul Iman Zainudin, 18, yang juga hafiz al-Quran 30 juzuk mengikuti program khas ke Jordan yang disediakan Mara kepada pelajar-pelajar tahfiz cemerlang.

Kata Asyraf Wajdi, Fakhrul yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Telok Kemang, Port Dickson hadir bersama ibu bapanya ke pejabat beliau di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bagi meneroka peluang pembiayaan pendidikan Mara.

“Saya amat teruja melihat slip keputusan Fakhrul dan terus mencadangkannya supaya menyertai program khas ke Jordan yang Mara sediakan bagi pelajar tahfiz cemerlang untuk memperdalami bidang syariah dengan pengkhususan dalam ekonomi dan kewangan Islam.

"Saya sempat berkongsi pengalaman saya dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam sebelum terlibat politik, agar Fakhrul lebih terbuka mindanya dan tidak hanya melihat bidang syariah, tetapi perluaskan skop kepada bidang kepakaran kewangan syariah yang diperlukan negara masa depan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Asyraf Wajdi menjelaskan, perkara itu juga disuarakan kerana Malaysia terkenal sebagai negara peneraju industri perbankan dan kewangan Islam global.

Dalam masa sama, beliau turut menitipkan pesanan kepada Fakhrul supaya tidak melupakan pengorbanan ibu bapa yang membesarkannya dengan hasil jualan pisang goreng.

“Insya-ALLAH satu hari nanti bila Fakhrul berjaya, jangan lupa ayah dan mak yang memerah keringat hanya dengan hasil jualan pisang goreng membesarkan Fakhrul.

"Ingat, dengan ilmu sahaja yang boleh mengubah kehidupan keluarga, dengan izin ALLAH SWT. Demikianlah pesanan akhir saya kepada Fakhrul sebelum saya ambil kesempatan menguji atau 'tebuk' hafazan al-Quran beliau,” ujarnya.

Dengan nada berseloroh, Asyraf Wajdi berkata, Mara akan mempertimbangkan permohonan Fakhrul sekiranya melepasi 'ujian' tersebut.

"'Kalau berjaya ujian tebuk ni, baru Mara pertimbangkan untuk lulus permohonan Fakhrul!'. Gurau saya sambil tangan Abang Din Goreng Pisang (nama gelaran ayah Fakhrul) mengusap belakang Fakhrul memberinya semangat," kata beliau.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, kegigihan ibu bapanya mencari rezeki dengan berniaga pisang goreng dan laksa menjadi pembakar semangat buat Fakhrul untuk belajar bersungguh-sungguh bagi meraih keputusan cemerlang dalam SPM.

Hasilnya, Fakhrul berjaya memperoleh keputusan 11A+ sekali gus dinobatkan sebagai pelajar paling cemerlang di sekolahnya.

Dia juga tidak menyangka video dirinya mengambil keputusan sambil ditemani bapanya menjadi tular di media sosial.