APMM tahan lima nelayan Vietnam, rampasan bernilai hampir RM1.5 juta

2 Nov 2023 • 3:31 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan lima nelayan asing warga Vietnam dan merampas sebuah bot menerusi Op Damai Khas Kuda Laut dan Op Naga Barat, Isnin lepas.

Pengarahnya Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Abdul Rahman berkata bot berkenaan ditahan pada jarak 173 batu nautika tenggara muara Tok Bali, kira-kira 9.20 pagi.

“Kapal Maritim Jujur (KM JUJUR) mengesan bot berkenaan pada 7.53 pagi dan mengambil masa lebih satu jam mengejar nelayan itu yang bertindak melarikan diri ke sempadan Vietnam.

“Bagi mengelak ditahan, nelayan terbabit turut menggunakan taktik membuang tali tambatan ke laut dengan harapan tali berkenaan tersangkut pada kipas kapal APMM, bagaimanapun anggota APMM berjaya menahan bot itu,“ katanya pada sidang media di Pejabat APMM Tok Bali di sini hari ini.

Syed Nor Adli berkata pemeriksaan terhadap mereka yang berumur antara 24 hingga 31 tahun termasuk seorang tekong itu mendapati kesemuanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, selain menemukan satu tan metrik hasil tangkapan pelbagai jenis ikan.

“APMM turut merampas sejumlah peralatan menangkap ikan, alat navigasi dan komunikasi serta 7,000 liter diesel, dengan keseluruhan rampasan dianggar bernilai RM1.5 juta.

“Kesemua nelayan, bot dan barang rampasan diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Maritim Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,“ katanya.

Syed Nor Adli memaklumkan sebanyak 23 nelayan asing ditahan pihaknya sejak Januari lepas hingga bulan ini dengan 18 daripadanya terdiri daripada warga Vietnam manakala bakinya rakyat Thailand. -Bernama