MacBook Pro M4 baharu yang di pasaran sekarang mempunyai rekaan yang menarik dengan kepadatan kuasa memproses yang tinggi. Tetapi jika diletakkan bersebelahan MacBook Air, komputer riba ini nampak jauh lebih tebal khususnya pada bahagian tubuh. Menurut laporan terkini Mark Gurman untuk Bloomberg, MacBook Pro baharu yang lebih nipis sedang dibangunkan dengan ia dijangka tiba pada tahun 2026.

Ini dilakukan dengan menggantikan panel Mini-LED dengan panel OLED. Panel OLED tidak memerlukan lampu tambahan di belakang untuk menerangi skrin dan oleh itu bahagian penutup lebih nipis boleh dihasilkan. Kelebihan lain ialah penjimatan penggunaan bateri, warna yang lebih bermaya dan warna hitam legap sebenar.
Tambah Gurman lagi Apple ingin menjadikan MacBook Pro peranti paling nipis dalam kelasnya di seluruh industri teknologi. Rekaan baharu dan panel lebih baik juga diharap mampu menarik pengguna MacBook dengan Apple Silicon untuk menaik taraf ke komputer lebih baharu. Berdasarkan pengalaman kami, ramai enggan menaik taraf MacBook kerana prestasi cip M2 pada ketika ini masih cukup baik membuatkan pembelian model baharu tidak diperlukan dalam masa terdekat.
