Apple Memperkenalkan MacBook Pro Dengan Pilihan Cip M5 Pro Dan M5 Max

TechnologyDigital
3 Mar 2026 • 10:41 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Apple hari ini meneruskan minggu penuh pelancaran mereka melalui pengenalan kemaskini untuk keluarga komputer riba siri MacBook Pro. Melalui kemaskini baharu ini, MacBook Pro kini hadir dengan cip berkuasa, iaitu M5 Pro atau M5 Max. Kedua-dua pilihan MacBook Pro ini, masing-masing hadir dengan storan bermula 1TB dan juga 2TB – sekaligus memberikan ruangan lebih besar untuk pengurusan pelbagai dokumen dan fail.

image is not available

Pada masa yang sama, MacBook Pro hadir dengan cip N1 untuk sokongan rangkaian, menawarkan sokongan WiFi 7 dan juga Bluetooth 6. Apple mengatakan komputer riba ini menawarkan sokongan masa penggunaan bateri 24 jam.

Melengkapkan komputer riba ini juga adalah sokongan Thunderbolt 5, kamera 12MP Center Stage untuk panggilan video, sokongan mikrofon bertaraf studio, dan juga enam speaker terbina. 

M5 Pro dan M5 Max kedua-dua hadir dengan pilihan sehingga 18 teras, membolehkan penawaran prestasi tinggi, serta pengoptimasian dari segi penggunaan tenaga. Apple mengatakan M5 Pro sesuai untuk mereka yang melakukan tugasan kompleks, termasuk pengaturcara dan jurugambar. Sementara M5 Max pula sesuai untuk jurutera yang melakukan simulasi yang banyak. Kedua-dua hadir dengan sokongan GPU dan NPU yang disesuaikan untuk sokongan pemprosesan AI yang lebih pantas menggunakannya.

image is not available

Seperti sebelum ini, ia hadir dengan dua pilihan saiz skrin, iaitu 14-inci dan juga 16-inci. MacBook Pro M5 Pro bersaiz 14-inci ditawarkan pada harga bermula RM8,999, sementara 16-inci pula ditawarkan pada harga bermula RM10,999.

MacBook Pro M5 Max bersaiz 14-inci pula ditawarkan pada harga bermula RM14,999, sementara versi 16-inci pula berharga bermula RM15,999.