Apple TV+ adalah platform penstriman yang menarik kerana harga langganan yang mampu milik dan ada berkas langganan melalui Apple One. Namun, penawaran kandungan tidak sebanyak pesaing membuatkan jumlah penonton Apple TV+ untuk sebulan adalah lebih rendah berbanding jumlah penonton harian Netflix. Apple juga mengalami banyak kerugian sehingga filem Apple Original Films mungkin tidak lagi akan ke panggung wayang.

Apple baru-baru ini dikatakan ingin mencari jalan untuk menanggung kerugian yang berlaku pada Apple TV+ dan salah satu daripadanya adalah penawaran pelan langganan dengan iklan. Terbaru, Apple dikatakan turut mempertimbangkan untuk menawarkan kandungan Apple Original pada platform lain. Apple Original Films sebelum ke Apple TV+ kini turut boleh dibeli atau disewa secara digital pada platform lain dan perkara sama mungkin akan berlaku pada Apple Original Series. Mungkin akan ditawarkan pada Google TV atau platform lain yang boleh membeli atau menyewa video digital.

Apple dilihat masih tidak bersedia untuk melesenkan kandungan Apple Original Series mereka kepada platform penstriman lain. Jadi Apple ingin mengembangkan penawaran kandungan drama bersiri asli mereka dengan melesenkan kepada stesen televisyen atau menawarkan dalam format digital untuk dibeli atau disewa oleh pengguna.
