Ar-Raudhah juara MSSRIS XI

3 Sep 2026 • 5:06 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Ar-Raudhah juara MSSRIS XI

SANDAKAN: Sekolah Rendah Ar-Raudhah Sandakan dinobatkan johan keseluruhan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Rendah Islam Sabah (MSSRIS) Ke-11 (MSSRIS XI) 2026 yang berlangsung selama dua hari di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu baru-baru ini.

Lebih membanggakan, kejayaan kontinjen Ar-Raudhah turut diserikan dengan pengiktirafan individu apabila Abdul Aqil Abd. Rahman dinobatkan sebagai Olahragawan Tahap 2 MSSRIS XI 2026, manakala Aleesya Safiya Mohd Fadzil dipilih sebagai Olahragawati.

Kontinjen Ar-Raudhah berjaya mengumpul 21 pingat masing-masing tujuh emas, 10 perak dan empat gangsa pada kejohanan yang dirasmikan Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Sabah, Muddin Beting.

Manakala majlis penutupannya disempurnakan Ahli Dewan Undangan Karambunai, Datuk Aliakbar Gulasan.

Antara penyumbang utama kejayaan Ar-Raudhah ialah Abdul Aqil yang meraih dua emas menerusi acara 100 meter dan 200 meter Muslimin A.

Dia turut membantu pasukan 4x100m dan 4x200m Muslimin A meraih pingat emas, sekali gus menyerlahkan prestasi cemerlangnya dalam acara balapan.

Dalam acara 4x100m, pasukan Muslimin A yang dianggotai Abdul Wafi Abdullah, Muhammad Shairil Celestine, Izzul Islam Al Fatih Zainuddin dan Abdul Aqil turut menambah satu lagi pingat emas buat kontinjen.

Sementara pasukan 4x100m Muslimat A pula menyumbang pingat perak menerusi Ayesha Sofea Jamil, Durratul Husna Ahmad Noor, Nur Huda Safiyyah Mohammad Fauzi dan Aysha Nadhirah Abdul Hakim.

Kecemerlangan turut diteruskan dalam acara padang apabila Muhammad Shairil meraih emas dalam acara lompat jauh Muslimin A, selain perak dalam lompat tinggi Muslimin A.

Manakala Awfiyah Zafrah Dahlan pula menyumbang emas dalam lompat jauh Muslimat A dan perak dalam acara 100m Muslimat A.

Dalam acara lontar peluru, Aleesya Safiya muncul juara bagi kategori Muslimat A, manakala Muhammad Aniq Naufal Arshad meraih pingat perak dalam kategori Muslimin A.

Sementara itu, Muhammad Farhan Shamsul Rizal menyumbang gangsa dalam lompat jauh Muslimin A dan Muhammad Shairil turut meraih gangsa dalam 100m Muslimin A menerusi pencapaian keseluruhan kontinjen.

Kejayaan Ar-Raudhah turut menyerlah dalam acara memanah apabila Muhammad Khairullah Hamzah dan Nafisah Hidayatullah Faizal masing-masing meraih pingat perak dalam acara individu Muslimin A dan Muslimat A.

Nafisah bersama Andi Auni Fatini Andi Supratman dan Nursyahida Raysha Abdul Gaffar turut menyumbang pingat perak dalam acara memanah berkumpulan Muslimat A.

Acara memanah campuran pula menyaksikan Aaqil Syauqee Mohd Arsyani dan Andi Auni Fatini Andi Supratman meraih perak.

Dalam pada itu, kejayaan sebagai Johan Keseluruhan MSSRIS XI 2026 juga hadir bersama amanah baharu apabila Sekolah Rendah Ar-Raudhah Sandakan bakal menjadi tuan rumah Kejohanan MSSRIS Kali Ke-12 pada 2027.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved