
RIYADH – Tentera Arab Saudi hari ini berjaya memintas dan memusnahkan sebuah peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi ke arah ibu negara, Riyadh.
Kejadian itu menyusulkan amaran bahaya yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum beberapa bunyi letupan kuat dilaporkan kedengaran oleh wartawan agensi berita AFP di bandar raya berkenaan.
Jurucakap Gabungan Ketenteraan pimpinan Arab Saudi, Turki Al-Malki mengesahkan serangan terbaharu itu yang didakwanya disasarkan ke kawasan penempatan awam.
“Platform Amaran Awal Kebangsaan di Bandar Raya Riyadh sempat mengeluarkan amaran bahaya kepada penduduk sebelum ia ditarik balik beberapa minit kemudian selepas ancaman berjaya dinetralkan,” katanya.
Serangan berterusan daripada kumpulan yang disokong Iran itu kini berada pada tahap membimbangkan sehingga memaksa penangguhan persidangan pelaburan antarabangsa utama di Riyadh, sekali gus menjejaskan rancangan kerajaan untuk menarik pelabur asing.
Malah, beberapa serangan berdarah sebelum ini turut menjejas operasi dan memaksa penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh.
Hubungan kedua-dua pihak kembali tegang selepas gencatan senjata yang dimeterai pada 2022 terbatal Julai lalu apabila Houthi membenarkan pesawat Iran mendarat di Sanaa secara terbuka.
Tindakan itu mencetuskan siri pertempuran sengit termasuk pengisytiharan sekatan maritim oleh Houthi ke atas kapal perdagangan dan kemudahan minyak milik Arab Saudi. – AFP
The post Arab Saudi berjaya pintas peluru berpandu Houthi appeared first on Kosmo Online.



