Arafah #QuranHour didik kanak-kanak cintai al-Quran, belajar ibadah haji

LocalFamily & Parenting
16 May 2026 • 5:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Arafah #QuranHour didik kanak-kanak cintai al-Quran, belajar ibadah haji
Perasko menyokong penganjuran program Arafah #QuranHour 2026 sebagai usaha menyemai kecintaan terhadap al-Quran dan kefahaman ibadah haji dalam kalangan kanak-kanak seawal usia.

KOTA BHARU - Pertubuhan Pra Sekolah dan Asuhan Kelantan (Perasko) menyokong penganjuran program Arafah #QuranHour 2026 sebagai usaha menyemai kecintaan terhadap al-Quran dan kefahaman ibadah haji dalam kalangan kanak-kanak seawal usia.

 

 

Yang Dipertuanya, Suriyati Mohamad berkata, penglibatan pendidik pendidikan awal kanak-kanak dalam program itu penting bagi membimbing generasi muda mengenali penghayatan al-Quran sejak kecil.

 

 

Menurutnya, Perasko yang menghimpunkan pengusaha dan pendidik asuhan awal kanak-kanak amat menyokong segala program kerohanian dan pendidikan yang dianjurkan pihak Rumah Ngaji termasuk #QuranHour dan Arafah #QuranHour.

 

 

"Sebelum ini saya beberapa kali mengikuti program #QuranHour, namun kali ini lebih bermakna kerana dapat dikongsi bersama pendidik dan selepas ini akan bersama kanak-kanak," katanya kepada Sinar Harian.

 

 

Hadir sama ialah dua penasihat Perasko iaitu Faeezah Ismail dan Wan Zakaria Wan Abu Bakar selain ahli jawatankuasa serta ahli-ahli Perasko.

 

 

Suriyati berkata, sempena program berkenaan, Perasko turut akan mengadakan simulasi haji kanak-kanak pada 11 Jun depan di Masjid An-Nur, Bukit Marak melibatkan kira-kira 600 peserta.

 

 

Katanya, program itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai ibadah haji menerusi pendekatan santai dan interaktif supaya mereka lebih mudah memahami konsep rukun Islam kelima itu.

 

 

"Daripada kecil lagi anak-anak dapat belajar dan mengenali hukum-hakam serta konsep ibadah haji. Mereka sangat teruja apabila didedahkan dengan suasana sebegini," ujarnya.

 

 

Dalam perkembangan sama, Suriyati memaklumkan, Perasko kini mempunyai seramai 218 ahli berdaftar terdiri daripada 210 ahli seumur hidup dan lapan ahli biasa serta berperanan sebagai platform kebajikan, sokongan dan pembangunan dalam aspek pendidikan, latihan, pengurusan serta kebajikan ahli.

 

 

Katanya, rakan strategik Perasko bagi program berkenaan ialah Kolej Poly-Tech Mara Kota Bharu dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).