
Selesa Di Mina, TH Sediakan Sofa Bed Istimewa Untuk Jemaah
Lembaga Tabung Haji (TH) memberikan perkhidmatan terbaik demi melancarkan ibadah haji pada tahun ini, terutama ketika fasa kemuncak di Arafah, Mina dan Muzdalifah minggu hadapan.
TH juga telah menyediakan pelbagai kemudahan dan inisiatif dalam operasi Masyair itu bagi memudahkan jemaah.
Tentunya, operasi Masyair kali ini menyaksikan pelbagai penambahbaikan termasuk peningkatan jumlah tandas bagi mengelakkan kesesakan.
Bukan itu sahaja, TH turut memberikan keselesaan optimum kepada jemaah dengan menyediakan sofa bed.
Sofa bed itu boleh direbahkan, diturunkan atau dinaikkan supaya jemaah boleh duduk atau baring mengikut keselesaan masing-masing.


Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Mustakim Mohamad, setiap jemaah pasti akan mendapat penempatan sofa bed masing-masing.
Penempatan itu juga turut dilengkapi tagging dan gambar jemaah agar memudahkan mereka mencarinya.


Dalam pada itu, jemaah dinasihatkan untuk mengikuti arahan TH di Arafah dan Mina kerana kawasannya yang luas.
"Kita risau nanti jemaah tersasar atau tidak tahu di manakah sofa bed mereka dan di manakah khemah mereka, sebab semuanya nampak lebih kurang sama.
"Sekarang ini, untuk membezakan maktab, setiap maktab kita buat dengan warna yang berlainan supaya jemaah mudah mengenal pasti maktab mereka.
"Di pintu-pintu juga akan ada papan tanda yang memaklumkan pintu untuk jemaah A, B, C dan sebagainya. Semua itu ada sebagai panduan kepada jemaah," katanya.
