
KUALA LUMPUR: Pelakon, Arena Wan, mahu mengubah persepsi bapanya,
komposer dan penerbit, Iman Wan Tuck Meng yang sempat meragui kemampuannya untuk menceburi bidang nyanyian.
Jelas Arena Wan, 27, penglibatannya dalam teater muzikal Mansur & Liu arahan maestro legenda, Datuk M Nasir, bakal membuktikan kemampuan diri untuk keluar dari zon selesa.
“Dia (bapa) tahu saya pergi uji bakat, tetapi dia tidak percaya saya akan dapat. Bapa saya cuma cakap, ‘semoga berjaya’. Tapi, dia tahu teater ini susah. Tambah pula, anak dia ini bukanlah penyanyi.
“Bagi dia, mungkin saya ini masih belum bersedia. Saya tidak tahu, tapi mungkin sebab dia melihat saya sebagai anak dia. Jadi, dia memang terus terang beritahu yang saya ini belum bersedia,” katanya ditemui pada sidang media Teater Muzikal Mansur & Liu di Istana Budaya (IB) di sini, baru-baru ini.
Biarpun sudah hampir sedekad membina nama dalam bidang lakonan, Arena berkata, bapanya masih berpandangan dia belum berada pada tahap yang benar-benar bersedia untuk melangkah lebih jauh.
Malah, kata teraju utama drama Generasi: Perfect 10 itu, perkara sama sudah didengarinya sejak zaman persekolahan.
“Saya sudah 27 tahun, jadi bila saya hendak dianggap sudah bersedia? Dia cakap perkara sama sejak saya masih bersekolah. Ketika saya pertama kali mendapat tawaran untuk menghasilkan single pertama, iaitu lagu untuk runut bunyi drama, dia juga tidak benarkan dan melarang saya.
“Alasannya, nanti orang akan gunakan saya, ambil kesempatan dan sebagainya. Namun, saya pun beri dia peluang untuk dipercayai sebab dia pernah bekerja dalam industri muzik.
“Dia sudah berjumpa dengan pelbagai jenis orang, pernah melalui macam-macam pengalaman dan mungkin dia lebih tahu,” katanya.
Menurut bekas finalis Dewi Remaja edisi 2018/2019 itu lagi, pembabitannya dalam dunia seni juga pada awalnya tidak mendapat sokongan penuh daripada ibu bapanya.
Bagaimanapun, Arena tetap memilih untuk mengikut minat sendiri dan membina kerjaya dalam bidang lakonan meskipun terpaksa berdepan kebimbangan keluarganya.
“Lakonan pula, saya belajar sendiri sejak awal dan ibu bapa saya sebenarnya tidak benarkan saya masuk industri ini dari awal. Saya tetap masuk juga. Saya degil, memberontak dan buat sahaja.
“Dewi Remaja pun sebenarnya mereka tidak mahu saya sertai pada awalnya, tetapi saya tetap pergi.
“Sebenarnya, mereka tahu saya bergelut pada awal pembabitan dalam lakonan. Cuma mungkin mereka rasa ini adalah perjalanan yang perlu saya lalui. Perkara itu yang membuatkan saya menjadi lebih kuat,” katanya.
Bercerita mengenai perkembangan dirinya sepanjang berada dalam industri lakonan, Arena berkata, setiap projek yang dijayakan banyak membantunya memperkemas mutu lakonan serta meningkatkan penguasaan bahasa Melayu.
“Sekarang bahasa Melayu saya lebih fasih berbanding dulu. Kalau pertama kali jumpa, saya tidak bercakap macam ini. Lakonan juga semakin baik sedikit demi sedikit menerusi setiap projek yang saya lakukan.
“Jadi, ibu bapa saya macam tiada masalah. Untuk lakonan, mereka tidak terlalu risau. Tetapi untuk teater ini, mereka risau. Sebab teater dibuat secara langsung. Kita tidak boleh buat silap.
“Kalau berlakon televisyen, bila ada kesilapan kita boleh buat rakaman semula atau penggambaran semula. Tetapi ini persembahan secara langsung. Persembahan mesti diteruskan. Jadi, saya masih perlu perbanyakkan latihan,” katanya.
Dalam Teater Muzikal Mansur & Liu, Arena membawakan watak Tun Seri Anem, iaitu sepupu kepada Sultan Mansur Shah, selain bakal mempersembahkan tiga lagu secara langsung.
Pementasan berkenaan mengangkat kisah Sultan Melaka Keenam, Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu dari Dinasti Ming yang diadaptasi daripada Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.
Teater Muzikal Mansur & Liu yang menjadi pementasan sulung arahan M Nasir itu bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) dari 10 hingga 20 September depan. -UTUSAN
The post Arena Wan tepis keraguan bapa, buktikan kemampuan sertai teater muzikal appeared first on Utusan Malaysia.





