KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membatalkan sekatan terhadap akaun rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan berkaitan Program Jana Wibawa, pada Selasa.
Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin itu dan berpandangan tiada lagi asas perundangan mahupun moral untuk meneruskan pembekuan akaun berkenaan.
“Rentetan pelepasan mutlak ini, Armada menuntut agar SPRM segera membatalkan sekatan ke atas akaun-akaun bank rasmi Bersatu tanpa sebarang alasan birokrasi lagi.
“Tiada lagi asas perundangan mahupun moral untuk terus membekukan hak pengurusan kami,” katanya dalam kenyataan.
Akaun Bersatu sebelum ini dibekukan SPRM pada Januari 2023 bagi membantu siasatan berkaitan wang yang disyaki daripada hasil aktiviti haram sebelum dua akaun parti itu kemudiannya disita pada April tahun sama.
Pada 18 Jun lalu, Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak permohonan semakan kehakiman Bersatu bagi mencabar tindakan SPRM membeku dan menyita dua akaun bank parti itu, dengan mahkamah mendapati perintah pembekuan tersebut sah serta mematuhi keperluan undang-undang di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA).
Dalam pada itu, Harris mendakwa rangkaian pertuduhan terhadap Muhyiddin merupakan satu bentuk “persekuasi politik” yang dirancang bagi melumpuhkan perjuangan Bersatu.
Menurutnya, keputusan mahkamah menjadi pencetus kepada sayap parti itu untuk terus memperkukuh sokongan terhadap Muhyiddin serta kepimpinan parti.
“Kebenaran hari ini menjadi semboyan keramat: Bersatu kini sedia bangkit dengan solidariti penuh dan kekuatan total.
“Segala rintangan tirani ini tidak sedikit pun melemahkan maruah kami, malah menyemarakkan lagi obor perjuangan Armada untuk mara ke hadapan membentengi saf kepimpinan Muhyiddiin dan menuntut keadilan mutlak demi rakyat seluruh negara,” jelas beliau.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan bekas Perdana Menteri itu daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.






