Persetujuan parti helah melambatkan RUU Dana Politik

Politics
11 Sep 2026 • 7:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Persetujuan parti helah melambatkan RUU Dana Politik

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan tindakan kerajaan yang mahu mendapatkan persetujuan daripada parti-parti politik untuk menggubal RUU Pendanaan Politik.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Na’im Brun­dage berkata, tindakan itu dilihat janggal kerana kerajaan sebelum ini bebas membuat keputusan yang jelas memberi impak kepada puluhan juta rakyat negara ini.

Beliau berkata, cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman untuk mendapatkan sokongan bertulis daripada kesemua 72 parti politik yang berdaftar adalah helah untuk melengah-lengahkan proses reformasi institusi yang dijanjikan oleh Kerajaan Madani.

“Jika kerajaan sebelum ini boleh membuat keputusan-keputusan yang telah memberi impak negatif kepada puluhan juta rakyat Malaysia tanpa konsultasi atau rundingan umum, kenapa sekarang mereka perlu mendapatkan persetujuan dari parti-parti politik untuk menggubal RUU ini?

“Konsultasi dan rundingan ini bagus, tapi seeloknya dibuat juga sebelum kerajaan memperkenalkan dasar-dasar yang membebankan rakyat seperti penarikan subsidi diesel, pe­ngenalan cukai-cukai baharu dan menghapuskan skim pencen,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Azalina yang meminta semua 72 parti politik memberikan jawapan bertulis sama ada bersetuju atau tidak terhadap cadangan dalam RUU tersebut.

Katanya, jawapan bertulis itu wajib ditandatangani oleh pre­siden dan se­­tiausaha agung sebagai pendirian rasmi terhadap penggubalan RUU berkenaan.

Na’im berkata, pelaksanaan RUU itu sangat penting dan tidak wajar ditangguhkan bagi mengembalikan keyakinan rak­yat kepada sistem politik di negara ini.

“RUU ini sangat penting, tidak patut dilengahkan lagi kerana ia boleh mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem politik negara.

“Rakyat berhak tahu daripada mana sumber kewangan parti-parti dan ahli-ahli politik negara. Saya memberi soko­ngan penuh kepada kerajaan untuk menggubal RUU Pendanaan Politik ini,” katanya. – UTUSAN

The post Persetujuan parti helah melambatkan RUU Dana Politik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved