Armin lebur rekod baharu Hazriq

16 Aug 2026 • 4:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Armin lebur rekod baharu Hazriq

SERDANG – Rekod Sukan Malaysia (Sukma) acara 110 meter (m) berpagar lelaki yang baru diperbaharui Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau hanya mampu bertahan beberapa jam sebelum dipadamkan pemegang rekod kebangsaan, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif pada aksi final Sukma Selangor 2026, sebentar tadi.

Armin yang mewakili Terengganu mempamerkan larian cukup bertenaga di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila merangkul pingat emas dengan catatan 13.66 saat (s), sekali gus mencipta rekod baharu kejohanan.

Lebih menarik, rekod tersebut baru sahaja diperbaharui Hazriq pada saingan separuh akhir apabila pelari Johor itu mencatat 13.78s untuk memadam rekod berusia 18 tahun milik bekas atlet kebangsaan dari Sabah, Rayzam Shah Wan Sofian.

Rayzam sebelum ini memegang rekod Sukma menerusi catatan 14.10s yang dilakukan pada edisi Terengganu 2008, namun rekod itu akhirnya dipecahkan dua kali dalam tempoh beberapa jam di bumi Selangor.

Image from: Armin lebur rekod baharu Hazriq
Armin Zahryl mencatat rekod Sukma baharu dalam acara akhir lari berpagar lelaki 110m sempena Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Stadium UPM Serdang di sini, hari ini. Gambar ISKANDAR ISHAK

Hazriq yang kembali turun pada aksi final terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatat 13.83s, ketinggalan 0.17s di belakang Armin.

Pingat gangsa pula menjadi milik wakil Wilayah Persekutuan, Muhammad Ruzki A’limi Mohd Zahizal yang turut memberikan saingan sengit sebelum menamatkan perlumbaan dengan catatan 13.96s.

Kejayaan tersebut cukup bermakna buat Armin yang memasuki final selaku pemegang rekod kebangsaan, selain berjaya membalas kekalahan kepada Hazriq yang mengatasinya pada saingan separuh akhir.

Armin sebelum itu mencatat 13.81s untuk menduduki tempat kedua di belakang Hazriq dalam separuh akhir, namun meningkatkan prestasinya pada perlumbaan penentuan untuk membawa pulang emas serta muncul pemegang rekod baharu Sukma. KOSMO! ONLINE

The post Armin lebur rekod baharu Hazriq appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved