
SERDANG – Atlet Johor, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau mencuri tumpuan apabila memecahkan rekod kejohanan berusia 18 tahun dalam acara 110 meter (m) berpagar lelaki pada saingan separuh akhir Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), sebentar tadi.
Hazriq tampil cukup bertenaga untuk mengungguli saringan kedua selepas melintasi garisan penamat dengan catatan 13.78 saat (s), sekali gus memperbaharui rekod Sukma yang bertahan sejak 2008.
Rekod terdahulu 14.10s dilakukan bekas atlet kebangsaan dari Sabah, Rayzam Shah Wan Sofian pada SUKMA Terengganu 2008 sebelum akhirnya berjaya dipadamkan Hazriq selepas hampir dua dekad.
Lebih istimewa, catatan pelari Johor itu turut menjadi rekod kejohanan pertama dalam acara olahraga yang berjaya diperbaharui pada edisi Sukma Selangor 2026.
Kejayaan Hazriq semakin manis apabila dia berjaya mengatasi pemegang rekod kebangsaan acara 110m berpagar, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif dari Terengganu yang menamatkan saringan tersebut di kedudukan kedua dengan catatan 13.81s.
Muhammad Ruzki A’limi Mohd Zahizal pula melengkapkan tiga pelari teratas selepas mencatat 14.04s untuk menduduki tempat ketiga.
Ketiga-tiga pelari berkenaan turut mengesahkan tiket ke pentas final yang dijadualkan berlangsung pada pukul 3.45 petang ini. KOSMO! ONLINE
The post Hazriq lebur rekod 18 tahun Sukma appeared first on Kosmo Digital.






