KDM nafi kaitan dengan GRS hadapi PRN17

LocalPolitics
21 Oct 2025 • 4:14 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PAPAR: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menafikan mempunyai kaitan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN17) ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Wetrom Bahanda berkata, sebaliknya KDM komited bergerak solo sebagaimana kemahuan akar umbi dan pucuk pimpinan parti itu sebelum ini.

“Saya dengan tegasnya menafikan KDM ada kaitan dengan GRS, begitu juga sebelum ini kita dikaitkan dengan Parti Warisan Sabah (Warisan). Sebaliknya KDM akan bergerak solo pada PRN17.

“Terkilan juga kerana dikaitkan dengan parti-parti tertentu sedangkan berjumpa (dengan kepimpinan GRS atau Warisan) pun tidak pernah,” katanya ketika ditemui di Majlis Santai KDM Limbahau, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Wetrom berkata, jika KDM tidak berjaya membentuk kerajaan selepas PRN17, parti itu sedia bekerjasama sama dengan mana-mana parti tempatan yang berkongsi aspirasi sama.

“Ini adalah keputusan parti. Jika KDM tidak berjaya selepas PRN17, kita akan melihat mana-mana parti tempatan yang sesuai untuk bersama membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Mengenai kemungkinan KDM akan turut bekerjasama dengan parti luar selepas PRN17, Wetrom menegaskan senario itu mungkin berlaku sekiranya kerusi dimiliki parti tempatan tidak cukup membentuk kerajaan.

Beliau berkata, ia bukan mahu bermusuh dengan kerajaan persekutuan kerana KDM juga sebahagian Kerajaan Perpaduan, namun parti tempatan diberi keutamaan bagi membawa suara rakyat Sabah.

“Dalam politik, apa saja boleh berlaku dan kalau parti lokal tidak cukup kerusi, sudah tentu kita perlukan mereka (parti luar) dalam pakatan kita. Memang begitu sistemnya.

“Apa pun, keutamaan kita adalah parti tempatan untuk pastikan kita ada suara dan majoriti di peringkat kerajaan negeri, sekali gus mempunyai kuasa yang kukuh untuk rakyat Sabah,” katanya.

Mengenai keputusannya melepaskan kerusi Bandau untuk bertanding di Dun Matunggong pada PRN17 ini, Wetrom menegaskan, kawasan itu adalah kampung halamannya.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu menjelaskan, pada PRU14 lalu, nama beliau telah dicadang sebagai calon Barisan Nasional (BN) namun ditolak Parti Bersatu Sabah (PBS) atas alasan status quo bagi pembahagian kerusi parti komponen ketika itu.

Katanya, perkara sama berlaku pada PRN16 lalu di bawah gabungan Perikanan Nasional (PN), sehingga memaksa beliau bertanding di Bandau sehingga memenangi kerusi itu atas tiket Bersatu dengan majoriti 3,363 undi.

“Matunggong adalah kampung halaman tempat saya membesar dan sehingga kini masih menetap di kawasan itu, cuma pada PRN16 lepas, disebabkan PBS bertanding di situ, maka saya ambil tempat di Bandau.

“Bila ada peluang kali ini, maka saya (akhirnya dapat) bertanding di Matunggong tanpa halangan lagi atas tiket KDM,” katanya.

Wetrom turut menafikan spekulasi kononnya kerusi Bandau dilepaskan bagi memberi ruang kepada Ketua Wanita PGRS Pusat Datuk Redonah Bahanda, yang juga adik beliau dan bertanding atas tiket GRS.

Beliau menegaskan, tiada kaitan hubungan kekeluargaan dalam politik, termasuk dengan Ahli Parlimen Kudat (Bebas), Datuk Verdon Bahanda iaitu adik beliau yang memulakan gerakan ‘Gelombang Hitam’ sempena PRN17 ini.

“Dia (Redonah) Ketua Wanita PGRS, jadi terserah kepada Pengerusi GRS tentukan tempatnya, bukan tugas saya untuk pastikan di mana dia bertanding. Begitu juga adik saya Ahli Parlimen Kudat yang berada dalam Bebas.

“Untuk makluman, KDM akan letak calon di kerusi Matunggong, Bandau dan Tandek yang berada di bawah Parlimen Kota Marudu ini. Justeru tiada isu saya ada kompromi dengan keluarga,” tegasnya.