
PAPAR: Reformasi Undang-Undang Berkaitan Hartanah dan Perlindungan Hak Pembeli akan menjadi antara manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah bulan ini.
Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif berkenaan melibatkan dua enakmen sedia ada yang telah dikenalpasti menerusi kajian dan semakan kerangka perundangan berkaitan.
Katanya ia melibatkan pindaan terhadap Enakmen Tanah (Hakmilik Subsidiari) 1972 atau pemansuhan enakmen ini dan menggubal enakmen berkaitan yang baharu dan penggubalan undang-undang baharu Enakmen Pengurusan Bangunan 2025.
“Reformasi Undang-Undang Berkaitan Hartanah ini adalah bagi memenuhi perkembangan sektor hartanah termasuk pembangunan strata di Sabah sekali gus melindungi hak pengguna atau pemilik.
“Antara objektifnya adalah menyelesaikan kelewatan pengeluaran hak milik, mempercepatkan pembentukan badan perbadanan pengurusan, menangani isu penyelenggaraan bangunan dan mewujudkan pesuruhjaya bangunan.
“Usaha ini merupakan sebahagian daripada strategi yang telah digariskan di bawah Agenda Reformasi Undang-Undang dan Institusi yang terkandung dalam Manifesto GRS yang akan dibentangkan kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena pembelaan terhadap 24 pembeli lot kedai komersial Century Plaza yang hampir 20 tahun belum menerima geran pemilikan individu daripada pihak pemaju.
Bercakap mengenai perkara itu Armizan berkata ia susulan aduan daripada pembeli premis yang meminta bantuanya selaku Ahli Parlimen Papar bagi memastikan mereka mendapat hak masing-masing.
Seramai 19 daripada pembeli katanya telah pun melunaskan pinjaman bank bagi pembelian lot kedai berkenaan dan dua orang daripadanya telah meninggal dunia tanpa mempunyai geran milikan individu.
Sehubungan itu menurut beliau pihaknya bersama Majlis Daerah Papar (MDP) sebagai pemilik tanah projek sudah cuba telah mengadakan perjumpaan pada Isnin lalu namun tidak dihadiri pihak pemaju walaupun sudah diberi makluman.
“Tujuan untuk bertemu dengan pemaju bagi mengetahui apakah kerumitan dihadapi hingga masalah ini berlarutan dan mungkin saya boleh bantu jika melibatkan pihak agensi kerajaan.
“Pembeli sehingga kini masih belum tahu status geran milikan individu mereka sama ada akan dapat atau tidak kerana tanggungjawab menguruskannya adalah di bawah pihak pemaju.
“Justeru saya telah minta peguam Firma Guaman Tetuan Zainal & Co untuk mewakili 25 pembeli ini seterusnya mempertimbangkan tindakan undang-undang berdasarkan Perjanjian Jual Beli,” katanya.
Armizan berkata pihak peguam telah menulis surat kepada pemaju terbabit pada 31 Oktober baru-baru ini dan memberikan mereka tempoh 14 hari untuk memberi maklum balas.
Katanya jika tiada sebarang respon tindakan undang-undang selanjutnya akan diambil dan pada masa sama beliau juga akan berbincang dengan Kerajaan Negeri memandangkan tanah projek adalah milik MDP.
“MDP juga kena bertanggungjawab dengan memainkan peranan untuk memaklumkan sebarang perkembangan kepada pembeli kerana projek ini juga adalah kerjasama antara MDP dan pemaju terbabit,” tegasnya.

