Art Of Speed 2026 Bakal Kembali Di MAEPS Pada 1 & 2 Ogos

15 Jul 2026 • 9:21 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Berita baik buat peminat sukan permotoran, kaki kustom dan counter culture!

Art Of Speed (AOS), acara tahunan Kustom dan Counter Culture terbesar di Malaysia akan kembali menggegar Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) sebuah lokasi ikonik yang merangkumi ruang dalaman seluas 452,084 kaki persegi serta kawasan luar mencecah 320 ekar pada 1 dan 2 Ogos ini.

Membuka tirai 2026, AOS 2026 kali ini mempertaruhkan tema “Summer Festival – Kustom Bergaya” dan akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 7 malam.

Untuk menghangatkan lagi suasana musim panas, Art of Speed kembali menggegarkan pentas dengan rangkaian aktiviti interaktif, pameran eksklusif serta persembahan bertenaga di pentas SoundCircus yang menjanjikan pengalaman lebih imersif dan berbeza daripada edisi-edisi sebelum ini.

Menurut penganjur AOS, antara tetamu dan VIP khas daripada komuniti serta media antarabangsa yang dijangka hadir ialah Emi Suganuma, Michihisa “NATQQ” Shinotsuka dan Sohei Murakami daripada MOONEYES (Jepun), Wataru Kato dari Liberty Walk (Jepun), Yokomizo Gaku dari Hawgholic (Jepun), Yoshiki Okubo dari Vise Clothing (Jepun), Scott Walker dari DicE Magazine (Amerika Syarikat).

Image from: Art Of Speed 2026 Bakal Kembali Di MAEPS Pada 1 & 2 Ogos
Emi Suganuma

Selain itu Ronald Wong dari Amerika Syarikat yang merupakan Ketua Pereka Produk Hot Wheels Premium, Shigeki Isaka (Jepun) dan Ho Shu Yu (Taiwan) mewakili Banzai Racing, Kiyotaka Fukuda dari Boo Pinstriping (Jepun), Keiji Takada dari Jetwrench ArtStudio (Jepun), Ise dan James dari Vibes Magazine (Jepun), Choppajoop (Singapura) juga akan hadir sebagai tetamu.

Antara tetamu lain adalah SixtySick Paintlab (Indonesia), iaitu sebuah kolektif seni yang menghimpunkan 20 pelukis garis halus atau pinstripe terkemuka, Fahmi Freeflow (Indonesia), Mill Art (Indonesia), Irvine Jasta (Indonesia), Bangkok Hot Rod Show (Thailand), Kustomanila (Filipina), Borneo Kustom Show (Brunei), Kustomfest (Indonesia), Cherrybomb Pin Up Parlour (Singapura), The Wicked Wallop (Singapura), Sunset Ride (Indonesia), BBQ Ride (Indonesia) dan Carcult (Thailand).

Image from: Art Of Speed 2026 Bakal Kembali Di MAEPS Pada 1 & 2 Ogos



Kenderaan Kustom Eksklusif Bakal Jadi Tarikan

AOS 2026 kali ini bakal mempersembahkan barisan jentera motosikal dan kereta kustom yang cukup istimewa, khusus buat tatapan para pengunjung tahun ini. Dari bumi Tokyo, Jepun, Hawgholic bakal mempertaruhkan jentera vintaj 1945 Harley-Davidson Knucklehead, manakala Vise Clothing dari Nagoya pula tampil memperagakan 1966 Harley-Davidson Shovelhead.

Bukan itu sahaja, AOS 2026 turut membawakan pameran khas kereta kustom yang memukau dari Bangkok, Thailand dan Taiwan, di samping kehadiran firma talaan gergasi dunia, Liberty Walk dari Jepun.

Jadi jangan lepaskan peluang keemasan untuk menyaksikan deretan jentera bertaraf mahakarya ini hanya di AOS 2026!

Bukan itu sahaja ada pelbagai aktiviti serta segmen baharu dan ekslusif yang akan diperkenalkan di AOS 2026 ini antaranya:

Pentas Sengit ‘AOS Invitational Build-Off’ Kembali Berbisa

Segmen berprestij AOS Invitational Build-Off kembali mencuri tumpuan dengan menyaksikan lapan pembina motosikal kustom (bike builders) elit tempatan berentap demi merebut hadiah wang tunai serta peluang keemasan — membawa jentera mahakarya mereka ke pentas dunia di The 34th Yokohama Hot Rod Custom Show 2026 di Jepun.

Lapan pembina yang terpilih untuk edisi tahun ini ialah Chaos Custom, Valley Machines, Rocketeer Custom Art, Bad Soul Cycle Custom, Mujo Joros, AR Choppers, Fazben Custom dan Sedarah MC. 

Pengalaman Jadi Bintang Litar di ‘Red Carpet Photo Zone’

Pemilik kenderaan kini berpeluang memperagakan jentera mereka umpama bintang permaidani merah. Terletak di struktur ikonik Entrance Arch yang telah dinaik taraf dengan sistem pencahayaan sinematik, setiap motosikal dan kereta yang melintasi zon ini bakal menikmati sesi fotografi eksklusif bertaraf superstar.

10 Kolaborasi Mega Jenama Global & Tempatan

Memperkukuh kedudukannya sebagai hab subbudaya automotif serantau, AOS 2026 melakar satu lagi pencapaian besar dengan memperkenalkan sepuluh kolaborasi strategik yang menyatukan jenama global dan tempatan dalam satu ekosistem kreatif yang lebih berani dan berimpak tinggi.

Kolaborasi ini melibatkan Art of Speed bersama: Liberty Walk, Hot Wheels, DICE Magazine, Xocks, DRUM, Touch ‘n Go, Zippo, Cricket, Skillo dan Easthood, yang masing-masing membawa identiti serta pengaruh tersendiri dalam budaya automotif, gaya hidup dan komuniti kreatif.

Sinergi Sinematik Bersama Astro Shaw: Promosi Filem “Terbang”

AOS 2026 menjalinkan kerjasama strategik bersama gergasi perfileman tanah air, Astro Shaw, bagi mempromosikan filem terbaharu, “Terbang”. Pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai aktiviti interaktif, sesi meet-and-greet pelakon, serta pameran eksklusif jentera utama yang ditampilkan di dalam filem tersebut.

Himpunan Komuniti & Tarikan Gaya Hidup Baharu

  • Santai Scooterist & Car Club Gathering: Bakal membanjiri ruang luaran di kawasan Laman Tiba untuk himpunan kelab automotif berskala besar.
  • Zon Riadah Kanak-Kanak (Hall D): Ruang santai interaktif baharu yang mesra keluarga disediakan khas di dalam Dewan D.
  • “KL Orbits”: AOS 2026 turut melebarkan sayap ke komuniti berbasikal dengan menganjurkan perhimpunan serta pertandingan khas buat penggemar aktiviti kayuhan.
Image from: Art Of Speed 2026 Bakal Kembali Di MAEPS Pada 1 & 2 Ogos

Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM)’ Kembali di Dewan C

Ok! Berita baik buat peminat dan pengumpul Hot Wheels!

Konvensyen Rasmi Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) edisi ke-4 juga akan kembali menggegarkan Dewan C, menghimpunkan peminat tegar jenama ikonik ini. Edisi tahun ini tampil dengan Activation Zone baharu, aktiviti interaktif kanak-kanak, pameran serta pertandingan Hot Wheels Diorama, zon jual beli Swap Buy and Sell, serta sesi perkongsian bersama pengumpul.

Model Eksklusif HWCCM 2026

Image from: Art Of Speed 2026 Bakal Kembali Di MAEPS Pada 1 & 2 Ogos
Foto: BuzzKini
Image from: Art Of Speed 2026 Bakal Kembali Di MAEPS Pada 1 & 2 Ogos

Kereta konvensyen tahun ini mempertaruhkan model kustom Nissan Skyline GT-R V·Spec II (BNR34).

Setiap unit hadir dengan nombor siri unik yang sudah mendapat lesen rasmi daripada Nissan, serta dilengkapi pelekat (decal) tulen Motul dan Yokohama. Unit adalah sangat terhad jadi siapa cepat, dia dapat!

 Bagi meraikan pelancaran model Skyline eksklusif tersebut, Dewan C bakal menonjolkan barisan kereta Nissan Skyline GT-R sebenar yang dihimpunkan khas dengan kerjasama Malaysia Skyline Owners Group (MSOG).

Pengunjung bertuah bakal bertemu dengan Ronald Wong, Ketua Pereka Produk untuk Hot Wheels Premium.

AOS 2026 juga akan menampilkan pelancaran model diecast eksklusif yang hanya boleh didapati di acara tersebut, iaitu:

  • Model kereta diecast Kyosho X MOONEYES
  • Model kereta diecast Tarmac Works X RWB
  • Model kereta diecast Mini GT X Liberty Walk

Gaya Hidup & Sub-Budaya di Dewan D

Dewan D pula akan menjadi spot gaya hidup dan sub-culture antaranya:

  • Gravel Travel: Menghimpunkan pameran Show & Shine serta pertandingan basikal kustom dan modifikasi, lengkap dengan ruang komuniti yang dikendalikan oleh KL Orbits.
  • Kulture Kartel: Syurga buat peminat barangan vintaj, pakaian terpakai (thrift), fesyen, dan pakaian jalanan (streetwear). Ruang ini turut dihangatkan dengan pertandingan B-Boy serta rap battle yang dijadualkan pada hari Ahad.
  • Sunburst Tribe: Saksikan pertunjukan fesyen eksklusif oleh Sunburst Tribe yang akan berlangsung di dalam dewan ini.

Aktiviti ‘Kembara Passport’ AOS 2026 Tawarkan Hadiah Lumayan RM80,000 & Kenderaan Kustom!

Aktiviti ikonik Kembara Passport kembali memeriahkan edisi AOS 2026 dan kini dibuka kepada semua pemegang tiket tanpa mengira kategori. Setelah menerima ‘passport’ masing-masing, para pengunjung hanya perlu mengunjungi reruai (booth) korporat serta rakan penaja untuk menyelesaikan tugasan mudah bagi mengumpul cap (stamp). Pengunjung yang berjaya melengkapkan kesemua DUA PULUH EMPAT (24) cap berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik keseluruhan bernilai RM80,000 serta pakej pelancongan eksklusif bersama Art of Speed Malaysia.

Lebih mengujakan, dua pemenang bertuah bakal membawa pulang hadiah utama berupa sebuah (1) unit motosikal kustom daripada Thunder Motorcycles dan sebuah (1) unit kereta Honda HR-V yang diubah suai khas oleh Qartel TV! Selain itu, sebuah (1) unit Vespa S 125 daripada Vespa turut menanti pemenang bertuah.

Tiket & Harga

Art of Speed 2026 menawarkan harga istimewa Early Bird secara dalam talian untuk Pas Hujung Minggu (Weekend Pass) pada harga RM35*, sementara stok masih terhad.

Harga tiket di kaunter (door price) pula ditetapkan pada RM40 manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun serta pemegang Kad OKU adalah PERCUMA.

Menurut penganjuir, semua dewan pameran akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 7 malam pada kedua-dua hari acara.

Bagi keselesaan pengunjung, pas Valet VIP Parking turut disediakan pada kadar RM30 (bayaran tunai atau QR sahaja pada hari acara). Kemudahan ini membolehkan kenderaan diparkir di Aras Bumi, Dewan D, dan tiket sah untuk kemasukan satu hari sahaja.

Nota: Harga tiket ‘Early Bird’ tidak termasuk yuran pemprosesan sebanyak RM3.00. Maklumat lanjut serta terma lengkap boleh didapati di laman web rasmi.

Untuk maklumat lengkap mengenai acara, pembelian tiket, serta kemas kini eksklusif, sila layari pautan rasmi AOS di [SINI] atau ikuti saluran digital rasmi di [SINI].

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved