“Arwah baru nak balik pejabat…” – Seorang Lagi Mangsa Nahas Plaza Tol Bukit Kajang Meninggal Dunia

LocalCars
5 Oct 2025 • 3:22 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang lagi mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Plaza Tol Bukit Kajang meninggal dunia hari ini.

Mangsa, Mohd Hafizi Anuar, 48, yang juga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Shah Alam), disahkan meninggal dunia pada Ahad ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, mangsa menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 11 pagi, dan proses bedah siasat dijalankan di hospital sama sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Difahamkan, arwah merupakan penumpang kenderaan jenis Nissan X-Trail milik JKR Shah Alam, dan ketika kejadian, beliau bersama seorang rakan setugas baru sahaja selesai menjalankan tugasan di Penjara Kajang sebelum memulakan perjalanan pulang ke pejabat di Shah Alam.

image is not available
Kemalangan melibatkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, 27 September lalu.

Kemalangan yang berlaku pada 27 September lalu itu melibatkan empat kenderaan iaitu Nissan X-Trail, Proton X70, Honda City dan sebuah lori tiga tan membawa muatan besi buruk.

Tragedi berkenaan turut meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia setahun empat bulan yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati lori terbabit hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan di plaza tol berkenaan, menyebabkan rempuhan kuat dan keadaan huru-hara.

Susulan kejadian itu, pemandu lori berusia 42 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.