KUALA TERENGGANU – Bapa kepada remaja yang ditemui meninggal dunia selepas dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan bercuti bersama keluarga ke Cameron Highlands tidak menyangka hasrat anak sulungnya yang enggan membeli baju raya tahun ini menjadi petanda pemergian pemuda itu buat selama-lamanya.
Ahmad Azhar Mohamad Yusof, 59, berkata, arwah anaknya, Ahmad Azreeq Zafreen, 19, pernah menyatakan perkara itu kepada ibunya, Zaleha Awang, 47, namun mereka menganggap ia sekadar perkara biasa.
Menurutnya, setiap kali musim perayaan arwah biasanya membeli pakaian raya pada saat akhir kerana lebih gemar memilih sendiri warna yang diminatinya.
“Tiada perubahan pelik berlaku pada arwah. Cuma menurut ibunya, arwah ada beritahu tidak mahu membeli baju raya tahun ini.
“Tapi bagi saya itu perkara biasa kerana dia memang jenis yang suka beli baju raya pada saat akhir dan memilih sendiri warna yang dia suka,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada Isnin.
Jenazah Ahmad Azreeq Zafreen tiba dari Hospital Besut ke HSNZ kira-kira jam 9 pagi.
Ahmad Azhar berkata, anak sulungnya itu baru memulakan pekerjaan selepas menamatkan latihan praktikal dalam bidang kulinari.
Menurutnya, arwah sebelum ini mengikuti kursus kulinari selama kira-kira enam bulan di sebuah institusi di bawah Food Institute of Malaysia (FIM) yang turut merangkumi latihan praktikal selama tiga bulan.
“Ketika akhir praktikal, dia buat dua kerja kerana dia memang rajin. Selepas habis kerja di TC Steak House dari pukul 4 petang hingga 12 malam, dia sambung kerja lain pula di kedai makan,” katanya.
**media[3457410]**
Beliau berkata, arwah sebenarnya pernah ditawarkan untuk menyambung pengajian, namun memilih untuk bekerja terlebih dahulu bagi mencari pengalaman selain mengumpul wang.
“Kami ada suruh dia sambung belajar, tetapi dia kata mahu cari pengalaman kerja dahulu dan kumpul duit.
“Dia juga ada hasrat untuk membeli motosikal. Motosikal yang terlibat dalam kejadian itu sebenarnya baru dibeli kira-kira dua bulan lepas. Dia bekerja kuat kerana mahu membeli sendiri motosikal.
“Jadi kami bayarkan dahulu motosikal itu dan dia pernah kata mahu bayar semula kepada kami nanti. Tak sangka hajat itu tak kesampaian,” katanya.
Ahmad Azhar berkata, sebagai anak sulung, arwah sangat bertanggungjawab dan banyak membantu keluarga, khususnya menjaga adik-adiknya.
“Dia anak sulung, memang seorang yang bertanggungjawab dan banyak membantu keluarga terutama menjaga adik-adiknya.
“Kalau di rumah, dia juga suka memasak dan selalu membantu kerja-kerja rumah. Boleh diharap dan tidak banyak kerenah,” katanya.
Tambahnya, kehilangan itu amat dirasai oleh adik-beradik arwah.
“Adik-adiknya memang sangat terasa dengan kehilangan ini. Siapa-siapa pun tentu sedih, tetapi kami kena kuat.
“Saya pasrah atas ketentuan ini, lagi pun dia pergi pada bulan yang baik,” katanya yang berasal dari Seberang Takir, Kuala Nerus.
Sebelum ini media melaporkan seorang remaja dilaporkan hilang pada awal pagi Jumaat lalu ketika dalam perjalanan ke Cameron Highlands untuk bercuti bersama ibu bapa dan empat adiknya.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah stesen minyak di Benting Lintang berjaya mengesan kelibat mangsa sekitar jam 1.38 pagi Jumaat.
Dalam perkembangan kemudian beliau berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai penemuan mayat seorang lelaki bersama motosikalnya di kawasan semak di Kampung Bukit Jeruk kira-kira jam 6.40 petang pada Ahad.


![[VIDEO] 'Arwah beritahu ibunya, tak nak beli baju raya tahun ini' - Bapa Ahmad Azreeq](https://cdn.newswav.com/img/topic/family-and-parenting.jpeg)