KUALA TERENGGANU - Jenazah remaja yang ditemui meninggal dunia selepas dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan bercuti bersama keluarga ke Cameron Highlands selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syeikh Ibrahim, Jalan Pusara, di sini pada Isnin.
Jenazah Allahyarham Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, sebelum itu disolatkan di Masjid Khalifah Taman Jaya di sini sekitar jam 1 tengah hari.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila kira-kira 100 ahli keluarga, saudara-mara, rakan serta penduduk setempat hadir memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham kira-kira jam 2.50 petang.
Terdahulu, jenazah Allahyarham selesai menjalani proses bedah siasat kira-kira jam 12 tengah hari sebelum dibawa untuk disolatkan di masjid berkenaan.
Bapa Allahyarham, Ahmad Azhar Mohamad Yusof, 59, menzahirkan rasa syukur apabila urusan pengebumian anak sulungnya itu berjalan lancar dan dipermudahkan.
"Saya bersyukur kerana urusan pengebumian dipermudah dan keadaan jenazah anak saya juga sempurna walaupun hanya ditemukan selepas tiga hari.
"Memang sedih, perasaan itu masih ada tetapi saya reda dengan pemergian anak sulung saya pada bulan yang mulia ini," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu di sini.
Sebelum ini, media melaporkan kehilangan Ahmad Azreeq pada Jumaat lalu selepas mangsa terputus hubungan dengan keluarganya yang ketika itu dalam perjalanan ke Cameron Highlands.
Teka-teki kehilangan pembantu kedai makan milik Muhamad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik itu akhirnya terjawab apabila dia ditemukan meninggal dunia oleh orang awam di Kampung Bukit Jeruk, Besut sekitar jam 6.40 petang pada Ahad.


