'Arwah kata nak nikah sebelum raya haji' - Ibu

10 May 2026 • 2:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Arwah kata nak nikah sebelum raya haji' - Ibu
Mohamad Arif Danial maut selepas kereta dinaiki bersama rakan terlibat kemalangan di Jalan Besar Jengka 12.
Image from: 'Arwah kata nak nikah sebelum raya haji' - Ibu
Gambar kenangan Kartina (tengah) bersama arwah Mohamad Arif Danial (kanan) di Felda Jengka 11. Foto ihsan pembaca

MARAN – Seorang ibu tidak menyangka hasrat anak lelakinya untuk mendirikan rumah tangga sebelum Aidiladha tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Jalan Besar Jengka 12, di sini pada malam Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, Mohamad Arif Danial Ramli, 23, meninggal dunia selepas kereta dipandunya terbabas lalu merempuh tiang elektrik.

Ibunya, Kartina Mat Nawi, 55, berkata, anaknya sebelum ini ada menyuarakan perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat.

“Arwah ada cakap hendak nikah sebelum raya haji ini dan pada Khamis sebelum kejadian saya pergi berbincang tarikh perkahwinan dengan pihak perempuan.

“Tapi saya tak sangka ALLAH lebih dahulu menjemputnya,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

**media[3516020]**

Kartina berkata, kali terakhir dia bertemu arwah kira-kira jam 8.30 malam ketika mereka sekeluarga makan bersama di rumah.

Katanya, selepas selesai makan, arwah keluar rumah dipercayai untuk bertemu rakan.

"Keadaan dia sihat seperti biasa, tapi malam itu arwah makan laksa, saya pula makan nasi," ujarnya ringkas.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Axia dipandu mangsa dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik.

Mangsa bersama rakannya, Mohamad Ali Mohamed Saat, 31, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.