KUANTAN – “Mungkin ini rahsia ALLAH, bapa pernah dua kali menangguhkan panggilan haji sebelum ini, namun kali ini kami tidak sangka ia menjadi perjalanan terakhir arwah di bumi Makkah.”
Demikian kata Muhammad Syakir Mohamad Nor, 31, anak kepada Allahyarham Mohamad Nor Sulaiman, 65, yang meninggal dunia ketika mengerjakan ibadah haji pada 1 Mei lalu
Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, arwah bapa bersama ibunya, Salila Kasmin, 56, begitu teruja untuk menunaikan ibadah haji selepas beberapa kali tertangguh sebelum ini.
“Sebelum ini bapa pernah dapat panggilan, tetapi ditangguhkan atas sebab tertentu. Kali kedua pun sama, arwah terpaksa menangguhkannya juga.
“Tapi kali ketiga ini, bapa dan ibu nekad untuk berangkat menunaikan ibadah itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, arwah sangat menitikberatkan soal kesihatan sebagai persediaan memenuhi syarat ketat yang ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH).
“Dua bulan sebelum berangkat, bapa memang jaga kesihatan kerana itu antara syarat prosedur untuk terpilih ke sana.
“Jadi bagi kami, arwah bapa tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius,” jelasnya.
Bercerita lanjut, Muhammad Syakir berkata berdasarkan maklumat saksi dan kakitangan di Makkah, arwah rebah di dataran Masjidil Haram ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat Jumaat.
“Arwah tiba-tiba mengadu sakit dada, kemudian duduk seketika dan apabila cuba bangun semula, bapa terus rebah,” katanya.
Menurutnya, bantuan pernafasan awal diberikan sebelum Allahyarham dibawa ke Hospital Jabal Omar dan disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
Kongsi Muhammad Syakir, ibunya yang turut berada di Tanah Suci hanya dimaklumkan kira-kira sejam kemudian memandangkan jemaah lelaki dan wanita ditempatkan secara berasingan.
"Ketika arwah pergi ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat Jumaat, ibu tidak ikut sama kerana pada masa itu kesihatan ibu tidak mengizinkan.
"Ibu dibawa berjumpa di hospital, arwah sudah pun selesai diuruskan. Jenazah kemudian dibawa ke Masjidil Haram untuk disolatkan selepas solat Maghrib sebelum selamat dikebumikan,” ujarnya hiba.
Ditanya mengenai perubahan sikap arwah, Muhammad Syakir berkata keluarga menyedari sedikit perubahan pada diri Allahyarham sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Ujarnya, arwah dilihat lebih pendiam dan kurang bercakap berbanding kebiasaan.
“Kami perasan perubahan itu ketika menghantarnya di Stesen Berlepas Tabung Haji di Hotel Movenpick, Selangor.
“Arwah sebenarnya seorang yang ramah dan periang, tetapi sebelum pergi itu dia nampak sedikit berbeza.
"Cuma kami tidak terfikir ke arah itu (kematian), namun tidak menyangka itu detik terakhir kami bersamanya.
“Rupa-rupanya itulah kali terakhir kami dapat bersalam dan mencium bapa sebelum dia meninggalkan kami semua,” jelasnya lagi.
Meskipun sedih dengan pemergian itu, Muhammad Syakir berkata air mata yang mengalir dalam kalangan adik-beradik adalah ‘air mata kegembiraan’ kerana melihat kemuliaan cara arwah bapa dijemput kembali.
Katanya, mereka redha dengan ketentuan Ilahi dan menganggap pemergian itu sebagai pengakhiran yang mulia.
“Kita tahu mati itu pasti, tapi air mata ini keluar sebab kami seronok sebenarnya melihat bapa pergi dalam keadaan sangat mulia.
“Tempatnya, waktunya dan pemergian dalam ihram itu adalah sesuatu yang kami tidak sangka.
“Mungkin selama ini dia ada berdoa untuk meninggal dunia di sana, kita tidak tahu. Apa yang pasti, bapa pergi dalam keadaan yang diidamkan ramai orang,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Syakir memaklumkan pihak Tabung Haji Pahang turut memaklumkan mengenai hibah dan takaful yang ditinggalkan Allahyarham yang sebelum ini tidak diketahui keluarga.
“Pihak Tabung Haji yang datang menziarahi kami pagi tadi turut memaklumkan tentang hibah dan takaful yang ditinggalkan arwah, sedangkan kami sendiri tidak tahu dia ada membuat caruman tersebut,” katanya.
Allahyarham Mohamad Nor yang berasal dari Pekan, Pahang dan menetap di Muadzam Shah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Sharayae, Makkah.
Sementara itu, ibunya kini berada dalam tempoh iddah di Tanah Suci dan akan meneruskan ibadah haji sehingga selesai sebelum dijadualkan pulang ke tanah air pada 6 Jun depan.
Terdahulu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun memaklumkan seorang jemaah haji Malaysia musim 1447H/2026M meninggal dunia di Makkah pada Jumaat akibat komplikasi jantung.
Jemaah kumpulan KT012B yang menginap di Maktab 65, Hotel Al Kiswah itu dilaporkan rebah di dataran Masjidil Haram ketika menuju untuk menunaikan solat Jumaat.





