
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mungkin melancarkan serangan ke atas Gunung Beliung di Iran dalam masa terdekat, kata Presiden Donald Trump semalam.
Gunung Beliung, yang terletak berhampiran kemudahan pengayaan uranium Natanz yang mengalami kerosakan teruk, merupakan lokasi berkubu kuat yang menempatkan dua kompleks terowong jauh di bawah tanah.
Trump menyifatkan konflik dengan Iran sebagai ‘perkara kecil’ bagi AS, sehari selepas Naib Presiden, JD Vance, berkata beliau tidak akan menggelarnya sebagai perang.
“Ramai orang tidak menganggapnya sebagai perang. Saya menganggapnya sebagai konflik ketenteraan kerana ia perkara kecil bagi kami. Ia bukan sesuatu yang besar. Kami sudah lakukan di Venezuela, dan kami lakukan ini,” katanya kepada wartawan ketika ditanya mengenai kenyataan Vance.
Julai lalu, AS mengubah sistem rasmi Sistem Analisis Kecederaan Pertahanan dengan mengklasifikasikan semula anggota tentera yang terbunuh atau cedera dalam perang di bawah kategori ‘Operasi Luar Negara’.
Berdepan kerajaan Iran yang enggan berundur walaupun selepas kempen ketenteraan besar-besaran dilancarkan, Trump kini mengambil pendekatan dua hala dengan menggabungkan tekanan ekonomi dan kemungkinan peningkatan serangan ketenteraan secara besar-besaran.
Sepanjang konflik itu, Trump berulang kali mendakwa rundingan menunjukkan perkembangan atau menarik balik ancaman tindakan ketenteraan pada saat-saat akhir ketika pasaran global mula bergolak.
Presiden itu mahu mengelak daripada kembali melancarkan serangan pengeboman besar-besaran ke atas Iran, selain tidak mahu membuat sebarang konsesi kepada Tehran berhubung Selat Hormuz, kata Aaron David Miller dari Carnegie Endowment for International Peace.
“Rumah Putih tidak mahu perang besar-besaran, dan mereka juga tidak mahu dilihat menawarkan konsesi besar. Pendekatan yang diambil mereka mengelakkan kedua-dua perkara itu,” kata Miller.- AGENSI
The post AS ‘berniat’ serang kubu bawah tanah Iran appeared first on Utusan Malaysia.




