PM Anwar gesa AS, Iran redakan konflik, kembali kepada diplomasi

WorldPolitics
2 Sep 2026 • 9:18 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: PM Anwar gesa AS, Iran redakan konflik, kembali kepada diplomasi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa AS dan Iran menghentikan tindakan yang meningkatkan ketegangan dan kembali kepada pendekatan diplomasi.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran supaya segera menghentikan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serta kembali kepada pendekatan diplomasi susulan persengketaan yang tercetus semula antara kedua-dua negara.

Beliau memberi amaran bahawa serangan terbaharu yang kini melangkaui pihak yang terlibat secara langsung hingga menjejaskan negara lain di rantau berkenaan berisiko mengheret Asia Barat ke kancah konflik lebih dahsyat.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata pihak yang mempunyai keupayaan terbesar untuk mempengaruhi perkembangan situasi memikul tanggungjawab khusus untuk lebih banyak bersabar dan mengelakkan ketegangan daripada terus memuncak.

“Kedaulatan negara lain tidak boleh diketepikan. Tiada objektif ketenteraan yang boleh menghalalkan tindakan mendedahkan orang awam kepada konflik yang semakin meluas,” katanya.

Anwar turut mengingatkan supaya langkah ekonomi yang membebankan orang awam serta menjejaskan usaha diplomasi dielakkan, dan berkata tindakan sedemikian berisiko memburukkan lagi krisis berkenaan, bukan menyelesaikannya.

“Saya menggesa Amerika Syarikat dan Iran supaya segera menghentikan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serta kembali kepada pendekatan diplomasi dan persefahaman yang dicapai pada Jun,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa konflik itu hanya boleh diselesaikan melalui pendekatan politik dan diplomatik, sambil menambah dunia tidak seharusnya dipaksa menanggung akibat daripada perang serantau yang semakin meluas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved