AS mungkin guna senjata nuklear jika gagal guling rejim Iran

WorldPolitics
2 Sep 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AS mungkin guna senjata nuklear jika gagal guling rejim Iran

TEHERAN: Selepas enam bulan berperang, Amerika Syarikat (AS) dan Iran masih menemui jalan buntu dengan Republik Islam itu terus menutup Selat Hormuz yang strategik, manakala Amerika meneruskan sekatan balas terhadap pelabuhan-pelabuhan Teheran.

Kebuntuan itu menyebabkan AS mungkin menggunakan senjata nuklear terhadap Iran se­lepas gagal menggulingkan kepimpinan negara itu menggunakan kaedah konvensional, kata bekas penasihat antikeganasan Pre­siden AS, Donald Trump iaitu Joe Kent yang meletakkan jawatan pada Mac lalu.

Pada April, Trump mengancam bahawa seluruh tamadun Iran akan musnah  sekiranya Teheran tidak bersetuju dengan tuntutan Washington. 

Trump sejak itu berulang kali mengeluarkan ancaman serupa, dengan menyatakan bahawa tentera AS boleh memusnahkan infrastruktur awam negara tersebut, termasuk loji janakuasa dan jambatan.

Ketika muncul dalam ranca­ngan audio siar Tucker Carlson minggu lalu, Kent menyifatkan pilihan menggunakan senjata nuklear sebagai sesuatu yang rea­listik dan berkata: “Kita bodoh jika menganggap perkara ini tidak boleh berlaku di sini, dalam situa­si semasa, khususnya ketika pentadbiran (Trump) sedang berusaha mencari jalan keluar.”

Kent berkata, Trump gagal mencapai mana-mana objektif­nya yang sentiasa berubah dalam konflik dengan Iran, walaupun menggunakan keseluruhan ke­upayaan ketenteraan dan ekonomi AS.

Menurutnya, jika Washington masih berhasrat menyingkirkan kepimpinan Iran daripada tampuk kuasa dan memaksa negara itu ‘menyerah diri sepenuhnya’, hanya dua pilihan yang tinggal untuk Trump, iaitu operasi darat berskala penuh atau serangan nuklear.

Namun, Kent berkata, operasi darat berskala penuh langsung tidak boleh dilaksanakan berikutan keluasan wilayah dan jumlah penduduk Iran.

“Jika anda terus mengikuti senario ini untuk tempoh yang cukup lama, anda akan sampai kepada penggunaan senjata pemusnah besar-besaran dengan agak cepat,” dakwa Kent.

Beliau membuat spekulasi Washington secara hipotesis boleh memilih serangan nuklear terhad terhadap kemudahan pengayaan uranium bawah tanah yang tersembunyi di kawasan pegunungan Iran.

AS secara tiba-tiba menggantung gelombang serangan terbaharunya terhadap Iran pada akhir bulan lalu, susulan media me­laporkan Jabatan Pertahanan atau Pentagon menyatakan sebahagian besar stok senjata berketepatan tinggi dan peluru berpandu pemintas semakin berkurangan.

Trump dan beberapa pegawai kanan AS lain bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengenai kekurangan bekalan peluru dan menegaskan Pentagon masih mempunyai bekalan senjata yang mencukupi.

Dalam perubahan strategi, Presiden AS itu minggu lalu me­ngumumkan pelancaran kempen sekatan ekonomi besar-besaran terhadap Iran, yang disifatkannya sebagai ‘Hari Penentuan Ekonomi’ buat Iran.

Beberapa hari kemudian, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, mengumumkan pelaksanaan beberapa sekatan baharu terhadap Teheran, dengan menyasarkan hampir 60 entiti, individu dan kapal di beberapa bidang kuasa, termasuk 21 yang berpangkalan di China.

 

The post AS mungkin guna senjata nuklear jika gagal guling rejim Iran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved