AS perketatkan syarat lesen eksport cip AI canggih ke Malaysia, pusat data turut dipantau

17 Nov 2026 • 9:24 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AS perketatkan syarat lesen eksport cip AI canggih ke Malaysia, pusat data turut dipantau Image from: AS perketatkan syarat lesen eksport cip AI canggih ke Malaysia, pusat data turut dipantau sarah17/11/2026 - 09:24 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov - Malaysia kini termasuk dalam lima negara yang dikenakan syarat pelesenan baharu Amerika Syarikat (AS) bagi import, eksport semula dan pemindahan cip semikonduktor pengkomputeran termaju, susulan kebimbangan Washington terhadap risiko teknologi berkenaan disalurkan kepada pihak yang tertakluk kepada sekatan eksportnya.

 

Peraturan sementara yang diumumkan Biro Industri dan Keselamatan (BIS) di bawah Jabatan Perdagangan AS pada 16 November 2026 itu turut melibatkan Singapura, Indonesia, Thailand dan Brazil, yang dikenal pasti mempunyai risiko lebih tinggi daripada biasa terhadap pengalihan cip canggih kepada pengguna atau negara yang menjadi perhatian Washington.

 

Menurut dokumen peraturan bertajuk 'Addressing Remote Access to Advanced Semiconductors', keperluan lesen itu meliputi cip pengkomputeran termaju tertentu, termasuk teknologi yang digunakan dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI), serta peralatan dan komponen berkaitan yang tertakluk kepada peraturan kawalan eksport AS.

 

Bagaimanapun, syarat pelesenan tersebut tidak terpakai kepada penghantaran cip yang ditujukan kepada syarikat beribu pejabat di AS atau mempunyai syarikat induk utama di negara itu, dengan syarat pengeksport mematuhi keperluan pelaporan baharu yang ditetapkan BIS.

 

Artikel berkaitan: Sekatan cip AS berisiko lengahkan projek pusat data baharu di Malaysia - MBSB Research

 

Malaysia antara lima negara diberi perhatian

Langkah itu bermakna syarikat di Malaysia yang mahu mendapatkan cip pengkomputeran termaju tertentu dari AS mungkin perlu melalui proses kelulusan tambahan, bergantung kepada jenis cip, struktur pemilikan syarikat dan tujuan penggunaannya.

 

BIS menjelaskan, permohonan lesen bagi lima negara berkenaan akan dinilai mengikut kes, dengan mengambil kira kepentingan keselamatan negara dan dasar luar AS, termasuk keberkesanan sistem kawalan eksport negara penerima serta kerjasama mereka dengan pihak berkuasa Amerika.

 

Peraturan tersebut tidak menyatakan bahawa semua cip semikonduktor yang diimport Malaysia akan dikenakan sekatan, sebaliknya memberi tumpuan kepada kategori cip pengkomputeran termaju dan teknologi berkaitan yang tertakluk kepada kawalan eksport AS.

 

Pusat data Malaysia turut berdepan kawalan akses

Selain penghantaran cip secara fizikal, peraturan baharu itu turut memperluas kawalan terhadap akses jarak jauh kepada kuasa pengkomputeran termaju melalui pusat data yang beroperasi di negara ketiga, termasuk kemungkinan penggunaan kemudahan tersebut oleh syarikat dari negara yang dikenakan sekatan.

 

BIS menetapkan keperluan lesen bagi penggunaan cip tertentu di pusat data yang menyediakan akses kepada kuasa pengkomputeran melebihi ambang prestasi agregat yang ditetapkan kepada syarikat beribu pejabat di Macau atau negara dalam Kumpulan D:5, termasuk apabila akses diberikan melalui rangkaian pusat data yang saling berhubung.

 

Ini bermakna pengendali pusat data di Malaysia yang menggunakan cip termaju tertakluk kepada kawalan AS perlu memberi perhatian bukan sahaja kepada pemilikan peralatan, tetapi juga identiti pelanggan, syarikat induk dan pihak yang akhirnya menggunakan kapasiti pengkomputeran berkenaan.

 

Syarikat pembungkusan cip perlu tingkatkan pemeriksaan

Peraturan itu turut menyentuh pengeluar cip logik termaju serta syarikat pemasangan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor (OSAT), dengan mengetatkan syarat tertentu bagi menentukan sama ada cip yang dihasilkan untuk pereka cip tertentu tertakluk kepada keperluan lesen eksport.

 

Perubahan berkenaan berpotensi meningkatkan keperluan pematuhan bagi syarikat yang terlibat dalam rantaian bekalan semikonduktor Malaysia, khususnya apabila mereka mengendalikan cip termaju yang tertakluk kepada peraturan AS atau berurusan dengan pelanggan yang mempunyai struktur pemilikan rentas sempadan.

 

BIS turut memberi amaran bahawa negara yang membenarkan pengelakan kawalan eksport boleh berdepan tindakan lanjut, termasuk sekatan import, keperluan lesen tambahan, perubahan status dalam sistem kawalan eksport AS serta tindakan terhadap entiti yang terlibat.

 

Peraturan lama AI dimansuhkan

Dalam perkembangan berkaitan, AS turut memansuhkan secara rasmi peraturan penyebaran AI era pentadbiran Joe Biden yang sebelum ini memperkenalkan pengelasan negara dan kawalan tertentu terhadap teknologi AI, dengan menggantikannya melalui pendekatan yang lebih tertumpu kepada destinasi, pengguna akhir dan tujuan penggunaan teknologi.

 

Peraturan sementara itu dijadualkan berkuat kuasa pada tarikh penerbitannya dalam 'Federal Register', manakala BIS turut menyediakan tempoh untuk menerima maklum balas awam, sekali gus menjadikan perkembangan pelaksanaannya penting kepada industri semikonduktor dan pusat data Malaysia.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved