
SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) dan teknologi kecerdasan buatan (AI) di pusat sembelihan ayam bagi memastikan proses penyembelihan sentiasa mematuhi syarat halal.
EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, teknologi berkenaan mampu meningkatkan kecekapan pemantauan khususnya operasi penyembelihan yang kebanyakannya berlangsung pada waktu malam.
"Kalau perkara ini penting dan melibatkan kepentingan awam, tidak salah kalau kita masukkan komponen teknologi seperti AI dan kamera kerana teknologi ini tidak tidur seperti manusia.
"Kalau kita guna mesin dan peralatan CCTV serta AI, memang ada kos, tetapi ia lebih mampan, efisien dan cekap," katanya pada sidang media di Dewan Annexe, Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Beliau berkata, cadangan itu merupakan antara penambahbaikan dasar yang sedang dibincangkan bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi meningkatkan piawaian operasi pusat sembelihan ayam.
Menurutnya, pemantauan secara manual mempunyai kekangan kerana sesebuah pusat sembelihan boleh memproses ribuan ayam setiap malam.

Katanya, terdapat pusat sembelihan yang memproses kira-kira 5,000 ekor ayam semalam, manakala sebuah premis di Puchong yang dikenakan tindakan penguatkuasaan baru-baru ini dianggarkan berkapasiti 30,000 ekor sehari.
"Bagaimana kita hendak memastikan konsistensi penyembelihan? Kita boleh meletakkan CCTV sebagai contoh, malah AI juga boleh dimasukkan jika mahu.
"Ini antara dasar yang sedang kita perbaiki untuk masa hadapan," ujarnya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mempertimbangkan penetapan piawaian operasi berdasarkan contoh pusat sembelihan yang mempunyai kemudahan lengkap.
"Ada kilang yang memang buat betul. Lantai dia, pengudaraan, suhu, kipas semua ada dan bersih.
"Boleh tak kita jadikan satu standard supaya pusat sembelihan lain boleh mula menaik taraf ke arah itu," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata penggunaan teknologi CCTV dan AI perlu mengambil kira kos pemasangan serta keperluan infrastruktur.
"Kalau kita guna mesin dan peralatan CCTV dan AI, itu pun akan ada kos. Tetapi ia lebih mampan, efisien dan cekap.
"Ini antara dasar yang perlu kita pertimbangkan dari segi kos, impak dan kesannya," katanya.
Menurutnya, penambahbaikan itu penting bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap keselamatan makanan dan pematuhan halal, memandangkan penggunaan ayam di Selangor dianggarkan 500,000 ekor sehari.


![[VIDEO] Rajin cari kerja, 4 pagi dah bangun ‘rembat’ kabel](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-17-at-09.02.56-1024x644.jpeg)
![[VIDEO] Peragut larikan beg RM3,000 diburu](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-17-at-07.49.09.jpeg)
![Perbuatan Kecil Tapi Bermakna! Tindakan Spontan Peniaga Tukar Kerusi Demi Keselesaan Pelanggan Raih Pujian [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/kebaikan-peniaga_netizen_2.jpg?t=1794543857)

