sarah17/11/2026 - 09:45 Gambar Sahand Babali/Unsplash Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - Pelaksanaan kawalan eksport cip kecerdasan buatan (AI) yang lebih ketat oleh Amerika Syarikat (AS) berisiko melambatkan fasa pembangunan pusat data baharu di Malaysia, khususnya projek yang bergantung kepada pelanggan berkaitan China, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, projek pusat data yang telah dianugerahkan, terutama yang disokong syarikat teknologi utama AS, dijangka kekal berjalan seperti dirancang, namun pembangunan fasa seterusnya mungkin berdepan proses pelesenan dan pengesahan pelanggan yang lebih panjang.
Menurutnya, kemudahan pusat data yang dikendalikan sendiri oleh syarikat teknologi AS berada pada kedudukan lebih baik untuk memenuhi keperluan baharu, berbanding pengendali yang bergantung kepada pelanggan AI dari China atau perkhidmatan penyewaan kuasa pemprosesan grafik (GPU) dengan struktur pemilikan dan penggunaan yang kurang jelas.
"Kesan segera dijangka lebih tertumpu kepada pemasangan GPU dan pengaktifan kapasiti pusat data, manakala permintaan pembinaan hanya akan terjejas sekiranya kelewatan tersebut melemahkan komitmen penyewa atau menyebabkan fasa pembangunan susulan ditangguhkan," menurut firma itu dalam laporan sektor pembinaan.
Artikel berkaitan: AS perketatkan syarat lesen eksport cip AI canggih ke Malaysia, pusat data turut dipantau
SunCon paling terdedah kepada projek pusat data
MBSB Research menganggarkan Sunway Construction Group Bhd (SunCon) mempunyai baki kerja pusat data bernilai antara RM10.5 bilion hingga RM11 bilion, bersamaan 78% hingga 82% daripada keseluruhan buku tempahannya sebanyak RM13.4 bilion, menjadikannya kontraktor dengan pendedahan tertinggi kepada sektor berkenaan.
Bagaimanapun, pelanggan SunCon kebanyakannya terdiri daripada syarikat teknologi utama AS, selain K2 yang berpangkalan di Singapura, sekali gus menjadikan peluang kontrak masa depannya lebih bergantung kepada pengembangan pelanggan antarabangsa sedia ada berbanding permintaan dari China.
Sebaliknya, pendedahan Gamuda Bhd kepada projek pusat data dianggarkan antara RM6.5 bilion hingga RM7 bilion atau hanya 9.8% hingga 10.6% daripada buku tempahan RM66 bilion, manakala IJM Corporation Bhd mempunyai baki kerja pusat data RM1.8 bilion hingga RM2.2 bilion dan Kerjaya Prospek Group Bhd sekitar RM858 juta.
Pelaburan syarikat teknologi AS sokong pembinaan
MBSB Research berkata, pelaburan syarikat teknologi utama AS terus menjadi pemacu penting pembangunan pusat data Malaysia, termasuk rancangan Google melabur AS$15 bilion (RM61.5 bilion) sepanjang 2027 hingga 2028 bagi pembangunan kampus tambahan di Selangor dan Negeri Sembilan, kapasiti tenaga bersih melebihi satu gigawatt serta infrastruktur air berkaitan.
Microsoft pula telah memberikan komitmen pelaburan AS$2.2 bilion (RM9.02 bilion) dalam tempoh empat tahun dan sedang membangunkan SEA3 di Johor sebagai rantau awan keduanya di Malaysia, manakala Amazon Web Services (AWS) merancang pelaburan AS$6.2 bilion (RM25.42 bilion) sehingga 2038.
Walaupun komitmen itu menyokong prospek projek dalam tempoh 12 bulan akan datang, firma penyelidikan tersebut memberi amaran bahawa kawalan cip yang lebih ketat dan penelitian terhadap pulangan pelaburan AI boleh menyebabkan syarikat teknologi memperlahankan perbelanjaan modal bagi fasa pengembangan yang belum dimuktamadkan.
Kontrak pusat data cecah RM18.24 bilion
MBSB Research berkata, nilai kontrak pusat data yang dianugerahkan sepanjang 2026 telah mencapai paras tertinggi RM18.24 bilion, hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor pembinaan negara.
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai kerja pembinaan meningkat 9% tahun ke tahun kepada RM49.5 bilion pada suku ketiga 2026, dengan bangunan bukan kediaman mencatat pertumbuhan tertinggi sebanyak 21.1%, manakala Selangor dan Johor menyumbang 43.2% daripada keseluruhan aktiviti pembinaan negara.
MBSB Research mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor pembinaan, dengan Gamuda, SunCon dan IJM sebagai pilihan utama masing-masing pada harga sasaran RM5.60, RM9.28 dan RM3.32 sesaham, disokong prospek projek pusat data sedia ada serta peluang infrastruktur awam.- DagangNews.com






