AS Puji Kepimpinan PMX, Jadi Orang Tengah Rundingan Gencatan Senjata Kemboja-Thailand

LocalPolitics
29 Jul 2025 • 10:20 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Semalam, berlangsungnya rundingan gencatan senjata buat dua negara ASEAN iaitu Thailand dan Kemboja.

Selaku pengerusi ASEAN tahun ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) menjadi orang tengah bagi rundingan tersebut.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, berkata Washington menyambut baik pengumuman gencatan senjata Thailand-Kemboja yang diumumkan itu.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, atas kepimpinan beliau dan kerana menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata ini,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Negara AS, lewat malam tadi.

Dalam pada itu, Rubio turut menggesa Thailand dan Kemboja agar mematuhi sepenuhnya komitmen mereka untuk menamatkan konflik dan mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Beliau juga menegaskan AS akan terus komited dan terbabit dalam proses yang dianjurkan bersama Malaysia bagi menamatkan konflik berkenaan.

Semalam, satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Anwar selaku Pengerusi ASEAN, telah diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, menghadiri mesyuarat khas itu yang bermula jam 3 petang.

Ia merupakan pertemuan secara bersemuka yang pertama antara kedua-dua pemimpin itu sejak ketegangan tercetus antara kedua-dua negara jiran berkenaan pada 24 Julai lalu.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.