hamden24/11/2026 - 10:51 KUALA LUMPUR 24 Nov - Tiga syarikat berpangkalan di Malaysia disenaraikan dalam senarai hitam oleh Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) susulan kebimbangan berhubung kemungkinan penglibatan mereka dalam pemindahan perkakasan pengkomputeran canggih, termasuk cip kecerdasan buatan (AI), kepada pengguna yang tidak dibenarkan.
MSFusion Sdn Bhd, PT Megaspeed International dan Speedmatrix Sdn Bhd merupakan antara tujuh syarikat di Malaysia, Singapura dan Thailand yang ditambah ke dalam Senarai Entiti (Entity List) oleh Biro Industri dan Keselamatan AS (BIS), menurut laporan FMT.
Tindakan itu diumumkan menerusi peraturan muktamad bertarikh 23 November yang dijadualkan diterbitkan dalam Daftar Persekutuan AS pada 25 November.
Empat syarikat lain yang turut dikenakan sekatan ialah Megaspeed International Pte Ltd, Apex Enterprise Solutions (Singapore) Pte Ltd dan Swiftdata Pte Ltd di Singapura, serta Megaspeed (Thailand) Co Ltd.
BIS berkata, tindakan itu diambil berikutan risiko ketara bahawa entiti berkenaan terlibat atau berpotensi terlibat dalam pemindahan komoditi pengkomputeran canggih untuk kegunaan atau pengguna akhir yang tidak dibenarkan.
Perlu memohon lesen eksport
Susulan penyertaan dalam senarai berkenaan, kesemua tujuh syarikat perlu mendapatkan lesen bagi barangan yang tertakluk kepada peraturan eksport AS, dengan permohonan mereka akan dinilai berdasarkan prinsip anggapan untuk ditolak (presumption of denial).
Perkembangan itu turut memberi perhatian kepada Speedmatrix, anak syarikat Megaspeed yang berpangkalan di Singapura, iaitu syarikat pengkomputeran awan dan rakan kongsi Nvidia yang disyaki membantu menyalurkan cip AI yang tertakluk kepada sekatan ke China.
Megaspeed turut dikaitkan dengan siasatan berhubung dakwaan pengintipan yang melibatkan Nvidia.
Sebelum ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan bahawa pihaknya tidak pernah meluluskan sebarang permohonan daripada Megaspeed atau Speedmatrix.
MITI turut menjelaskan bahawa Speedmatrix merupakan penyewa di pusat data di Malaysia.
Kementerian itu sebelum ini juga menyatakan bahawa pengimportan cip AI ke Malaysia tidak memerlukan permit atau lesen pada masa ini.
Bagaimanapun, sejak Julai 2025, syarikat perlu mendapatkan permit untuk mengeksport, mengeksport semula atau memindahkan cip AI berprestasi tinggi buatan AS melalui Malaysia. - DagangNews.com





