AS terus kekal pelabur terbesar di Malaysia, ketegangan China wujudkan banyak peluang, kata AmCham

LocalBusiness & Finance
2 May 2025 • 9:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AS terus kekal pelabur terbesar di Malaysia, ketegangan China wujudkan banyak peluang, kata AmCham

image is not available

02/05/2025 - 09:55

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Mei — Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AmCham) meramalkan Amerika Syarikat (AS) bakal menjadi pelabur terbesar di Malaysia berdasarkan kepada trend kemasukan positif pelbagai jenis pelaburan dari AS sejak akhir-akhir ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Siobhan Das berkata, AmCham melihat potensi tersebut berdasarkan trend direkodkan dalam masa lima tahun sebelum itu meskipun pada ketika ini berlaku isu ketegangan perdagangan antara AS dengan China.


Minat tingi tersebut pula katanya, datang daripada sektor yang menarik segmen pelaburan tradisional dan turut berpendapat daya tarikan Malaysia dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini semakin berkembang baik secara berterusan.


"Saya berpendapat ia persoalan mengenai apa akan berlaku di Malaysia dan fikir di sebalik ketegangan dengan China, ini mewujudkan pelbagai peluang malah pelaburan masuk agak ketara dan AS mungkin pelabur terbesar di Malaysia sekarang," katanya.


Pada masa ini, lebih 600 syarikat AS beroperasi di Malaysia dan menurut laporan Prestasi Perdagangan Malaysia, trend perdagangan dengan AS adalah meningkat sebanyak 29.9 peratus pada 2024 kepada RM324.91 bilion berbanding tahun sebelum itu.


Perdagangan dengan AS pula menyumbang 11.3 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan Malaysia dengan eksport ke negara tersebut pada 2024 mencapai rekod tertinggi baharu, melonjak 23.2 peratus kepada sebanyak RM198.65 bilion.


Mengulas lanjut, Siobhan berkata dalam tempoh lima tahun lepas, sektor yang secara konsisten menarik pelaburan AS ke Malaysia adalah bernilai tinggi, teknologi tinggi serta memerlukan kepakaran dan kualiti untuk keluar daripada pelaburan mereka.


"Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk melakukannya kerana negara ini dilengkapi dengan sempurna untuk tujuan itu termasuk sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang adalah sebahagian daripada semikonduktor, kekal diutamakan," katanya.


Selain itu, beliau melihat kemasukan secara besar-besaran banyak syarikat AS berasaskan kepada sektor teknologi perubatan, aeroangkasa, bahan kimia serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) selain peluang industri baharu seperti mineral.


Kekuatan AmCham kata Siobhan, datang daripada keupayaannya dalam mengumpulkan maklumat lengkap daripada ahli-ahlinya di Malaysia serta dapat menyampaikannya terus kepada pihak berkuasa di negara ini dan ia turut bekerjasama dengan kerajaan.


Ditanya sama ada AmCham menjangkakan sebarang penarikan balik atau penerusan tarif di bawah pentadbiran AS pada masa depan, beliau berkata, rundingan dan pemahaman bahawa Malaysia adalah rakan kongsi yang baik, mungkin membantu negara ini.


"Masih terlalu awal... kami sendiri tidak tahu hala tujunya kerana tarif tidak semestinya secara langsung dan ada faktor lain dalam perkara ini. Kami perlu menunggu dan melihat bagaimana keseluruhan hubungan itu berkembang," kata Siobhan.


Bagaimanapun beliau berkata, hubungan dua hala antara AS dan Malaysia sentiasa berdaya tahan di sebalik hubungan ekonomi yang pelbagai antara kedua-dua negara selain kerajaan Malaysia pada masa ini juga sangat pragmatik.


Di samping itu katanya, Malaysia mengambil pendekatan yang betul dalam memahami perkara diperlukan oleh AS dan cuba merumuskan apakah tawaran untuk padanan perniagaan serta memastikan tumpuan diberi kepada bidang bernilai tinggi.


"Itu sangat pragmatik dan saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana melakukannya tetap bagi pandangan saya, ada perkara yang boleh kita lakukan sendiri untuk lebih berdaya saing supaya kami membawa pelaburan betul,” kata Siobhan. - DagangNews.com

standard