AS undur askar dari Asia Barat

WorldPolitics
23 Oct 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AS undur askar dari Asia Barat

WASHINGTON: Ketika ancaman berkaitan Iran semakin meningkat di Asia Barat, tentera Amerika Syarikat (AS) secara senyap mengurangkan kehadiran anggotanya di rantau itu sejak beberapa hari lalu.

Menurut seorang pegawai AS dan seorang pegawai kanan tentera negara itu kepada CBS News pada Rabu, pengunduran itu dilakukan susulan ancaman berterusan daripada Houthi di rantau tersebut serta ancaman langsung daripada Iran.

Memetik pegawai kanan, termasuk dari Jabatan Pertahanan AS, CBS News melaporkan pada 21 Oktober bahawa tentera Amerika sedang mengurangkan penempatan tenteranya di beberapa lokasi di Asia Barat susulan ancaman yang semakin meningkat  itu.

Pergerakan pengunduran itu berlaku ketika komander kanan tentera mengemukakan beberapa pilihan kepada Presiden AS, Donald Trump untuk melancarkan semula serangan terhadap sasaran di Iran.

Ketika menjawab pertanyaan CBS, jurucakap Markas Pusat AS (CENTCOM), Tim Hawkins memberikan kenyataan dengan berkata: “Kami secara berkala memindahkan anggota dan aset tentera AS bagi mengoptimumkan kesiap­siagaan misi kami.”

“Atas sebab keselamatan operasi, kami tidak membincangkan pergerakan khusus, tetapi tentera AS kekal berwaspada dan bersedia untuk melindungi Amerika serta kepentingan negara itu di seluruh rantau berke­naan.”

Pengunduran anggota tentera itu turut berlaku ketika Trump mempertimbangkan pilihan untuk menyerang Iran bulan depan. 

The New York Times me­laporkan bahawa tentera AS dan Israel telah merangka pelan khusus untuk menyambung semula serangan terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal AS pada November dalam operasi yang menurut akhbar itu akan berlangsung singkat tetapi intensif.

AS dilaporkan mempunyai lebih 50,000 askar dengan sebahagian besar anggota dan aset tentera ditempatkan di beberapa pangkalan di Asia Barat.

Arab Saudi bulan ini ber­depan serangan oleh Houthi dari Yaman hampir setiap hari yang disokong Iran, termasuk serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh yang me­ngorbankan paling ramai mangsa dalam tempoh beberapa tahun, ketika perang dengan kumpulan berkenaan semakin memuncak.

Pada Rabu, Kementerian Tenaga Arab Saudi berkata, serpihan dron yang berjaya dipintas ketika menyasarkan sebuah kemudahan minyak mengorbankan dua orang dan mence­derakan dua lagi.

Kementerian itu tidak menya­takan pihak yang melancarkan dron yang menyasarkan medan minyak Shaybah berhampiran sempadan Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Terdahulu pada Rabu, pakatan diketuai Arab Saudi di Yaman melaporkan berjaya memintas enam dron.

Pada Jun, gencatan senjata selama empat tahun dalam perang saudara Yaman runtuh, sekali gus mencetuskan semula konflik yang bermula pada 2014.

 

The post AS undur askar dari Asia Barat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved