Asap Hitam Dikesan, Pesawat Malaysia Airlines Batal Berlepas Dari Lapangan Terbang Narita

20 Aug 2026 • 2:38 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Asap Hitam Dikesan, Pesawat Malaysia Airlines Batal Berlepas Dari Lapangan Terbang Narita

TOKYO - Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Narita menuju Kuala Lumpur terpaksa membatalkan proses berlepas pagi ini selepas masalah teknikal dikesan pada pesawat berkenaan.

Menurut laporan Kyodo News, kejadian berlaku ketika pesawat Airbus A330 itu sedang bergerak menuju salah satu landasan lapangan terbang sekitar jam 10.40 pagi waktu tempatan.

Kementerian Pengangkutan Jepun memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan membabitkan kesemua 160 penumpang dan kru yang berada di dalam pesawat.

Pesawat yang beroperasi sebagai Penerbangan MH89 itu dipercayai mengalami masalah pada enjin sebelah kiri, menurut pejabat cawangan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun di lapangan terbang berkenaan.

Asap hitam dilaporkan kelihatan keluar dari pesawat ketika ia sedang bergerak di kawasan landasan.

Susulan kejadian, landasan berkenaan ditutup selama kira-kira dua setengah jam bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan serta mengendalikan insiden tersebut.

Menurut penyiar awam NHK, pihak bomba menerima laporan sekitar jam 10.40 pagi mengenai kewujudan sesuatu yang menyerupai asap hitam keluar dari enjin sebuah pesawat di lapangan terbang berkenaan.

Rakaman yang disiarkan NHK sekitar jam 11 pagi menunjukkan pesawat berkenaan berada di landasan, dengan beberapa jentera bomba dan ambulans dikerahkan ke lokasi ketika petugas menjalankan kerja-kerja pengendalian insiden.

Punca sebenar masalah yang menyebabkan pesawat berkenaan membatalkan penerbangan masih belum diperincikan. - Getaran, 20 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved