
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Malaysia Airlines hari ini mengesahkan penerbangan MH89 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo ke Kuala Lumpur tidak meneruskan proses berlepas pagi tadi susulan masalah teknikal melibatkan satu daripada enjinnya.
Syarikat penerbangan nasional itu berkata semua penumpang dan kru di dalam pesawat berkenaan juga selamat.
"Penerbangan itu kemudiannya dibatalkan dan pesawat sedang menjalani pemeriksaan teknikal menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.
Malaysia Airlines berkata semua penumpang yang terjejas dibantu untuk urusan perjalanan seterusnya dan akan ditempatkan dalam penerbangan tersedia yang berikutnya.
"Makanan, akses lounge dan penginapan hotel turut disediakan jika berkenaan, manakala urusan perjalanan alternatif sedang dibuat untuk penumpang yang terjejas," katanya.
Baca juga:
Asap Hitam Keluar, Pesawat Malaysia Airlines Ke Kuala Lumpur Batal Berlepas Di Jepun
Juruterbang Malaysia Airlines Selesai Jalani Saringan Dadah, Semua Negatif - MAG
Syarikat penerbangan itu memohon atas kesulitan yang berlaku, selain menghargai kesabaran dan pemahaman penumpang sepanjang menghadapi situasi berkenaan.
"Keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta kru kekal menjadi keutamaan tertinggi syarikat penerbangan ini," katanya.
Terdahulu dilaporkan asap hitam kelihatan dari pesawat berkenaan ketika ia bergerak menuju landasan lapangan terbang itu kira-kira 10.40 pagi waktu tempatan di Tokyo.


![[VIDEO] Enjin MH89 keluar asap hitam, juruterbang batalkan penerbangan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-20-at-6.31.55-PM-1024x576.jpeg)


