
PETALING JAYA: Malaysia menggesa semua negara anggota ASEAN memperkasakan penguatkuasaan terhadap larangan pembakaran terbuka selain memastikan kesiapsiagaan operasi pemadaman kebakaran yang cekap bagi menangani risiko jerebu rentas sempadan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, perkara itu perlu berteraskan prinsip Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) di mana semua negara anggota perlu meningkatkan kawalan dan kesiapsiagaan dengan mengekalkan pemantauan rapi di kawasan berisiko tinggi dan mempertingkat pengawasan titik panas.
Katanya, Malaysia juga menggesa tindakan kolektif daripada semua negara anggota ASEAN untuk meningkatkan kesiapsiagaan bagi menangani risiko jerebu rentas sempadan menerusi tindakan pencegahan, kesiapsiagaan nasional dan pemantauan berterusan.
“Walaupun kejadian kebakaran ketika ini masih terkawal dalam sempadan negara anggota masing-masing, risiko jerebu merentas sempadan menuntut kesiapsiagaan kolektif serta kewaspadaan tinggi di peringkat serantau.
“Pelaksanaan intervensi awal, pertukaran maklumat secara tepat serta koordinasi serantau yang erat merupakan elemen asas dalam menangani isu jerebu secara berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pendirian itu disampaikan menerusi utusan rasmi kepada Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn semalam.
Beliau berkata, pemantauan perkembangan cuaca semasa mendapati keadaan kering berterusan di kawasan selatan rantau ASEAN telah mengakibatkan peningkatan aktiviti titik panas dan jerebu.
“Keadaan ini berisiko menjadi lebih meluas berikutan fenomena El Niño yang dijangka beransur menguat dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.
Arthur berkata, Malaysia turut mengalu-alukan peranan proaktif Sekretariat ASEAN selaku Pusat Koordinasi ASEAN Sementara bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ACC THPC) dalam memudah cara penyebaran maklumat, menyelaraskan langkah kesiapsiagaan antara negara anggota serta memperkukuh mekanisme kerjasama di bawah AATHP.
“Malaysia yakin bahawa komitmen padu dan tindakan proaktif seluruh negara anggota ASEAN akan memperkasakan ketahanan serantau dalam mendepani cabaran iklim, seterusnya memelihara alam sekitar yang mampan, sejahtera dan bebas jerebu demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang,” katanya.-UTUSAN
The post ASEAN digesa tegas pembakaran terbuka appeared first on Utusan Malaysia.






